YANGON 18 Sept. – Para penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, tentera Myanmar mesti dikeluarkan daripada terlibat dalam urusan politik negara ini.
Badan dunia itu berkata demikian ketika menyiarkan bahagian akhir laporan yang mengulangi gesaan agar pemimpin tertinggi tentera negara ini didakwa kerana melakukan ‘pembunuhan beramai-ramai’ terhadap etnik minoriti Islam Rohingya.
Tindakan kejam tentera berkenaan pada tahun lalu telah memaksa lebih 700,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.
Laporan siasatan setebal 444 muka surat itu menggesa kepimpinan tertinggi tentera diganti selain institusi tentera yang dikenali sebagai ‘Tatmadaw’ tidak dibenarkan lagi mempengaruhi pentadbiran negara.
Pada masa ini, tentera Myanmar menguasai pentadbiran Myanmar dengan menguasai suku daripada kerusi Parlimen dan mengawal tiga kementerian.
Laporan berkenaan juga menegaskan kepimpinan awam negara ini ‘harus meneruskan usaha menyingkir Tatmadaw daripada urusan politik’.
Analisis terperinci dan teliti PBB itu dibuat berdasarkan siasatan selama 18 bulan selain sebanyak 850 temu bual dan gesaan daripada masyarakat antarabangsa agar menyiasat kepimpinan tertinggi tentera termasuk Ketua Tentera, Min Aung Hlaing atas tuduhan pembunuhan beramai-ramai.
Sebelum ini, tentera Myanmar menafikan hampir kesemua tuduhan tersebut selain menegaskan kempen ketenteraan yang dilakukan bertujuan untuk menghapuskan pemberontak Rohingya.
Namun, pasukan penyiasat PBB berkata, taktik tentera Myanmar itu ‘tidak seimbang dan konsisten terhadap ancaman keselamatan sebenar’.
Mereka berkata, Tatmadaw perlu distrukturkan semula dan proses itu perlu bermula dengan menggantikan kepimpinan yang ada sekarang.
Dalam perkembangan berkaitan, Bangladesh akan mula memindahkan 100,000 pelarian Rohingya ke sebuah pulau terpencil, Bhashan Char dengan perasmiannya dilakukan oleh Perdana Menteri, Sheikh Hasina pada 3 Oktober ini.











