UJANG atau nama sebenarnya Ibrahim Anon, 54, leka bermain aplikasi Autodesk Skecthbook iaitu sebuah aplikasi lukisan pada tablet yang dipelajari daripada rakannya beberapa hari lalu.
Pada mulanya lukisan-lukisan yang dibuat menggunakan kaedah digital itu seakan tidak menjadi tetapi berbekalkan pengalamannya dalam bidang kartun selama 36 tahun dan kesungguhan rakannya, Ujang akhirnya berjaya menghasilkan sebuah lukisan menarik.
Autodesk Skectbook merupakan sebuah aplikasi yang digunakan untuk membuat pelbagai karya seni menggunakan kaedah digital. Ia boleh dimuat turun menerusi aplikasi Play Store.
Ujang berpendapat, melukis menggunakan kaedah digital lebih menjimatkan masa, tenaga dan sangat mudah jika dapat menguasainya.
Setelah menguasai melukis menggunakan digital, Ujang yang pernah popular dengan komik Aku Budak Minang terdetik dalam hatinya untuk kembali berkarya setelah 18 tahun tidak terlibat dalam bidang kartun.
“Saya berhenti dalam industri komik kartun ini sejak tahun 2002 setelah bergelut dengan beberapa masalah dalam industri komik dan kartun serta peribadi pada masa itu.
“Lagipun, industri komik negara pada masa itu dalam keadaan tidak stabil,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Kartunis yang pernah berkarya bersama majalah Gila-Gila pada tahun 1983 sehingga 1993 itu merupakan pelukis kartun yang pernah mencetus fenomena dalam dunia komik dan kartun di Malaysia.
Menurut Ujang, kerjayanya sebagai kartunis profesional bermula sejak dia berjumpa dengan Jaafar Taib di Pejabat Creative Enterprise iaitu penerbit majalah Gila-Gila untuk mencari kerja.
Penerima Anugerah Karyawan Animasi pada tahun 2011 itu pernah mencapai zaman kegemilangannya apabila Majalah Lawak Antarabangsa Ujang yang dihasilkannya pada tahun 1994 bersama Kharisma Publication berjaya mencatat jualan sebanyak 386,000 naskhah.
Antara karya ciptaan beliau yang sangat popular ialah Aku Budak Minang, Atuk, Jibam, Aca, Intelligent Blues Club (IBC) dan Usop Sontorian. Selain itu juga dia turut menulis novel iaitu Jibam.
Anak kelahiran Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu berpendapat, kemahiran untuk mempelajari lukisan menggunakan teknologi digital sangat diperlukan oleh para kartunis. Malah, hasil daripada mempelajari melukis menggunakan digital itu, kini Ujang berjaya menghasilkan buku kartun terbaharunya berjudul Lobai Pak Sahak.
“Alhamdulillah selama dua bulan belajar melukis menggunakan kaedah digital saya berjaya menghasilkan buku ini hanya mengambil masa dua minggu.
“Pada mulanya memang sukar untuk memahami teknikal dan elemen-elemen teknologi ini tetapi sebenarnya ia banyak manfaat berbanding melukis secara tradisional,” kata bekas ketua kartunis majalah Gila-Gila itu.
Jimat
Tambah Ujang, melukis secara digital bukan sahaja mudah, malah lebih jimat. Pelukis tidak perlu membeli barang-barang lukisan seperti berus, cat, pensel dan kertas.
Jika dahulu, seorang pelukis itu memerlukan sekitar RM300 untuk barang-barang, namun kini hanya kos permulaan untuk membeli telefon ini.
Malah pelukis-pelukis juga tidak lagi perlu membawa beg besar-besar untuk meletakkan peralatan lukisan tetapi hanyalah tablet semata-mata berserta pengecasnya.
Selain itu, kebaikan melukis menggunakan digital itu juga dapat menjimatkan waktu berbanding cara tradisional.
“Sebelum ini untuk menyiapkan sesebuah lukisan yang berkualiti mengambil masa hampir 10 hari. Namun kini saya boleh siapkan untuk 10 buah lukisan dalam masa sehari.
“Namun, pelukis yang menggunakan kaedah ini perlu mempunyai asas melukis secara tradisional untuk mudah memahami elemen seperti campuran warna, penggunaan berus dan pensel pada setiap lukisan,” jelasnya.
Walau bagaimanapun, anak ketujuh daripada lapan adik-beradik itu menjelaskan, kaedah digital juga ada keburukannya iaitu lukisan asal tidak wujud.
“Jika dahulu, pelukis melukis atas helaian kertas dan ia boleh mencecah sehingga RM20,000 jika dijual.
“Namun, perbezaannya dengan digital adalah pelukis menggunakan telefon dan jika ia dicetak, lukisan asal itu tiada,” tuturnya.
Berbeza pula dengan Amier Hamzah Hashim, 42. Dia merupakan seorang kartunis dalam bidang animasi yang pernah terlibat dalam penerbitan siri animasi televisyen kartun Usop Sontorian bersama syarikat Kharisma Publication pada tahun 1996.
Menurut Amier Hamzah, Usop Sontorian merupakan siri animasi pertama di Malaysia dan rancangan kartun yang paling diminati terutamanya golongan remaja pada masa itu.
Zaman kegemilangan
Mengikut sejarah, zaman kegemilangan komik dan kartun adalah pada tahun 1971 sehingga 1990. Kewujudan kartun animasi di Malaysia bermula pada tahun 1991 hingga kini.
Mengimbau kenangan lalu, Amier Hamzah berkata, rata-rata remaja-remaja yang lahir pada era 80-an dan 90-an sudah bersedia di depan televisyen membuka siaran Radio Televisyen Malaysia pada pukul 6 petang untuk menonton cerita Usop Sontorian.
“Bagaimanapun, rancangan animasi tersebut hanya bertahan selama dua tahun kerana pada masa itu penerbit bertindak untuk mengurangkan kuasa monopoli sesebuah syarikat kartun ke atas penerbitan.
“Setelah ditamatkan, saya keluar daripada syarikat berkenaan bersama seorang rakan bagi mewujudkan animasi hero Malaysia iaitu Kluang Man,” ujarnya.
Menerima nasib yang sama, animasi Kluang Man yang diterbitkan pada tahun 1996 itu hanya bertahan selama tiga tahun kerana krisis ekonomi.
Amier Hamzah yang juga Presiden Animasi Malaysia berkata, berbeza pula cabaran pada masa kini kerana lambakan animasi terlalu banyak menyebabkan persaingan agak sengit terutamanya daripada kartun luar negara.
Selain itu, penggunaan teknologi yang sepatutnya memudahkan pengkarya disalah guna oleh sesetengah pihak apabila sumber-sumber kartun boleh diakses melalui media sosial.
“Memang betul zaman sekarang, pengkarya perlu menguasai teknologi supaya dapat mempromosikan karyanya di medium baharu seperti Facebook, Instagram dan YouTube.
“Namun, ada segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab menjadi lanun apabila memuat turun video-video animasi ini dan dimuat naik balik ke laman sosialnya sendiri,” jelas Pengarah Urusan Anithink Studio Sdn. Bhd. itu.
Tegas Amier Hamzah, perbuatan itu sebenarnya mengecilkan pendapatan kartunis-kartunis animasi yang menjana pendapatannya daripada laman sosial selain melemahkan momentum mereka untuk berkarya.
Hakikatnya perbuatan memuat turun dan naik video-video animasi tanpa kebenaran daripada pihak penerbit atau pemegang hak cipta sesuatu produk itu merupakan suatu kesalahan besar yang tertakluk di bawah Akta Hakcipta 1987.
Dalam pada itu, Amier Hamzah memberitahu, ahli persatuannya kini giat membuat rombongan pameran animasi-animasi kartun di seluruh Malaysia.
Rombongan itu bertujuan memberikan semangat dan didikan kepada generasi baharu supaya hasil-hasil pengkarya tidak dicetak rompak.
Sementara itu, kartunis tersohor negara, Jaafar Taib yang merupakan pengasas majalah humor Gila-Gila, mengakui majalah kartun sedang melalui era gelap.
“Apa sahaja media pastinya melalui transformasi. Dahulu orang hanya bergantung kepada surat khabar untuk mengetahui isu semasa tetapi kini media telah bertukar kepada internet yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja.
Era gelap
“Sama seperti majalah kartun, akan berubah mengikut media. Generasi sekarang tidak gemar lagi helaian kertas. Mereka lebih gemarkan karya elektronik seperti animasi atau permainan digital.
Sungguhpun begitu, pendekatan kartun satira itu kekal malar kerana orang Melayu kaya dengan bahasa sindiran.
“Saya pasti sampai bila-bila pun masih ada tetapi dalam konteks yang berbeza.
“Sekarang masyarakat lebih gemarkan sindiran politik sebagai bahan jenaka. Bukan pada helaian majalah tetapi grafik kartun di laman-laman sosial,” ujarnya.
Pengasas Rumah Kartun dan Komik Malaysia (RKKM), Mohd. Desa Omar atau Juragan berkata, RKKM ditubuhkan berasaskan dua objektif iaitu untuk memulihara karya-karya kartun dan komik serta mewujudkan produk pelancongan negara.
“Perubahan kepada teknologi digital, membuatkan kita terpanggil untuk memulihara karya-karya yang dinukilkan atas kertas. Rumah ini juga boleh dianggap sebagai perjuangan dalam memartabatkan kartunis,” ujarnya.











