Pulau Hokkaido lumpuh akibat gegaran kuat - Utusan Malaysia

Pulau Hokkaido lumpuh akibat gegaran kuat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SATU gempa bumi kuat berukuran 6.6 magnitud menggegarkan Pulau Hokkaido di utara Jepun yang menyebabkan sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh baru-baru ini.

Beberapa kejadian tanah runtuh berskala besar berlaku di kawasan kampung berkepadatan rendah yang sebelum ini turut dibadai taufan kuat awal. Menurut pihak berkuasa, sejumlah 33 orang penduduk masih hilang dan lebih 300 cedera dalam kejadian tersebut.

Gambar-gambar dari udara menunjukkan berpuluh-puluh rumah musnah di kaki sebuah bukit akibat ditimbus tanah runtuh dengan helikopter penyelamat bergegas memindahkan penduduk.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kira-kira 3 juta buah rumah bergelap selepas gempa bumi merosakkan jana kuasa termal utama yang membekalkan tenaga di wilayah itu.

Jana kuasa nuklear Tomori di Hokkaido yang tidak beroperasi sebelum gempa berlaku terpaksa dihidupkan dalam keadaan tenaga sokongan kecemasan bagi mengekalkan fungsi sistem penyejukannya, lapor stesen televisyen NHK.

Gegaran

“Gempa bumi tersebut berlaku secara tiba-tiba dengan gegaran kuat. Saya rasa ia bergoncang ke kiri dan kanan, bukan atas dan bawah selama dua hingga tiga minit.

“Ia berhenti sebentar sebelum goncangan bermula sekali lagi. Saya rasa ia berlaku dua kali. Saya berusia 51 tahun dan tidak pernah berhadapan keadaan seperti ini. Saya fikir rumah saya akan roboh,” ujar Kazuo Kibayashi, 51, yang merupakan seorang pegawai di bandar Abira yang terjejas teruk.

Kira-kira 20,000 anggota penyelamat telah dikerahkan ke tempat kejadian.

Kejadian tersebut berlaku beberapa hari selepas Taufan Jebi membadai barat negara itu.

Ribut itu adalah yang paling kuat pernah membadai Jepun dalam tempoh 25 tahun.

Ia telah mengakibatkan sebahagian kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai yang merupakan antara yang paling sibuk di Jepun ditenggelami air.

Ribut itu membawa angin berkelajuan sehingga 216 kilometer sejam yang mengakibatkan bumbung kediaman terbang, treler terbalik dan mengakibatkan sebuah kapal tangki seberat 2,500 tan melanggar sebuah jambatan menghala ke lapangan terbang itu.

Kerosakan pada jambatan menyebabkan lapangan terbang di pulau buatan manusia itu terputus hubungan, manakala kira-kira 3,000 penumpang dan kakitangan terkandas.

Dilaporkan sekurang-kurangnya 11 orang maut dan lebih 300 lagi cedera apabila Taufan Jebi membadai kawasan pengilangan utama di sekitar bandar kedua terbesar Jepun, Osaka.

Mangsa yang terkorban termasuk seorang lelaki berusia 71 tahun yang terbunuh di wilayah barat Shiga setelah terperangkap di bawah runtuhan akibat angin kencang. NHK juga melaporkan seramai 164 orang mengalami kecederaan ringan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini