LONDON 16 Sept. – Manchester United kini mengikuti perkembangan perancang Arsenal, Mesut Ozil dengan penuh minat dan dijangka melancarkan bidaan bagi mendapatkan khidmat pemain itu pada pasaran perpindahan Januari tahun depan.
Bekas pemain antarabangsa Jerman itu telah diminta agar mempamerkan persembahan setimpal dengan bayaran gaji yang diterimanya sebanyak 350,000 pound (RM1.89 juta) seminggu oleh bos baharu Gunners, Unai Emery.
Emery menafikan berselisih faham dengan Ozil, yang menjaringkan gol sewaktu Arsenal mencipta kemenangan 2-1 di Newcastle, semalam, tetapi berkata, dia mahu melihat persembahan yang lebih bagus daripada pemain yang menerima bayaran termahal itu.
Jose Mourinho telah mula mengikuti perkembangan pemain tersebut sejak penggal lepas lagi, sebelum Ozil menurunkan tandatangan untuk perjanjian baharu, dan dia masih berminat dengan bintang Arsenal itu yang memiliki baki kontrak selama dua tahun setengah.
Bos warga Portugal itu tidak berahsia apabila dia menunjukkan kekecewaannya ekoran kegagalan United berbelanja bagi membawa masuk lebih ramai pemain baharu pada jendela perpindahan musim panas yang lalu dengan hanya Diogo Dalot, Fred dan Lee Grant yang berjaya dibeli oleh Red Devils. – AGENSI











