Bukan parti pelampau - Utusan Malaysia

Bukan parti pelampau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 16 Sept. – Pandangan se­rong dalam kalangan pemimpin MCA terhadap kerjasama UMNO dengan Pas yang mulai terjalin disifatkan berpunca daripada kebimbangan terhadap perkembangan Islam yang diperjuangkan parti itu.

Tuan Ibrahim Tuan Man

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, partinya tidak menggunakan pendekatan me­lampau sebagaimana yang dicanangkan dan semua pihak boleh melihat bagaimana pelaksanaan pemerintahan di negeri-negeri yang dikuasai­nya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya nak jelaskan Pas berada selama 67 tahun dalam politik Malaysia, kita sebuah parti berdaftar, kita mengikut semua peraturan yang ada. Mereka boleh melihat apa berlaku di Kelantan dan Terengganu bagaimana Pas sebenar­nya bukan pelampau.

“Saya melihat kebimbangan mereka sebenarnya hanya satu sebab iaitu kerana kita memperkatakan tentang Islam dan dalam al-Quran sendiri ada diceritakan situasi sama (kebimbangan terhadap Islam),” katanya dalam sesi penggulungan, hari ini.

Tuan Ibrahim ju­ga berkata, hukuman sebat terhadap dua pesalah wanita dalam kes lesbian oleh Mahkamah Sya­riah Terengganu baru-baru ini mempunyai hikmah ter­sendiri biarpun dikritik dan ditentang pelbagai pihak.

“Kejadian itu berjaya membuka mata dan ruang untuk pihak yang tidak faham, mula mengkaji hukum Allah SWT yang kemudiannya terbukti meleset daripada sangkaan sebenar mereka selama ini,” katanya.

Menyentuh mengenai hu­bungan dengan UMNO, katanya Pas bukan sebuah parti yang menjadi ‘pelampung’ ke­pada sebarang kemungkaran tetapi untuk bersama menyelamatkan umat Islam, termasuk UMNO daripada kemungkaran Allah SWT.

Menurut Tuan Ibrahim, Pas sebagai sebuah parti bertunjangkan Islam mempunyai niat baik, iaitu mahu mengajak seluruh umat Islam termasuk UMNO kepada keselamatan serta kesejahteraan dunia dan akhirat.

“Kita kaum yang Allah SWT muliakan dengan Islam. Bangsa, negara, ummah dan rakyat kita mendapat rahmat dengan Islam jika kita mengajak semua pihak memilih jalan ditinggalkan Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini