MUKAH – Aktiviti tiga sekawan mencari asam paya semalam berakhir tragedi selepas dua daripadanya ditemui mati manakala seorang lagi dijumpai selamat di hutan Kampung Bedangan di sini hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, ketiga-tiga mereka keluar dari rumah ke hutan itu pada pukul 7 pagi semalam, namun gagal pulang ke rumah sebelum ibu kepada salah seorang mangsa memaklumkan kejadian tersebut kepada polis.
Menurutnya, dua mangsa, Stanley Saka, 21, dan Chuat, 24, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Lawrence Jainal, 41, ditemui dalam keadaan lemah dan tidak sedarkan diri.
“Pasukan mencari dan menyelamat menemui Stanley yang tersandar di bawah pokok dalam keadaan tidak sedarkan diri pada pukul 11.15 pagi iaitu kira-kira 2 kilometer dari laluan masuk hutan itu.
“Mereka kemudiannya menemui Lawrence dalam keadaan lemah di kawasan tanah lapang pada jarak 60 meter dari lokasi mangsa pertama dijumpai manakala Chuat ditemui tidak sedarkan diri kira-kira 50 meter dari lokasi Lawrence ditemui,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.
Mengulas lanjut, Ling Hii memberitahu, Lawrence berjaya dibawa keluar dalam keadaan selamat dari hutan itu pada pukul 12.35 tengah hari manakala mayat dua lagi rakannya dikeluarkan pada pukul 2.10 petang.
Katanya, kedua-dua mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan Lawrence dibawa ke Hospital Mukah untuk rawatan susulan.
“Bagaimanapun, punca kematian dua lelaki itu masih belum dapat dipastikan kerana masih menunggu laporan bedah siasat,” ujarnya. – K! ONLINE











