KOTA KINABALU – Seramai lapan aktivis yang terdiri daripada pelajar ditahan selepas dipercayai terlibat dalam Himpunan Pandang Ke Sabah di Lintasan Deasoka di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kesemua peserta himpunan terbabit ditahan kira-kira pukul 11 pagi tadi.
“Mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya ringkas hari ini.
Sementara itu, Penyelaras Bersih Sabah 2.0, Asraf Sharafi menyifatkan tindakan polis menahan lapan peserta perhimpunan tersebut adalah tidak wajar dan meminta supaya mereka dilepaskan.
“Pihak berkuasa tidak patut menggunakan Akta Perhimpunan Aman alasan untuk menghentikan sebarang perhimpunan rakyat sebagai menghormati Artikel 10 Perlembangaan Persekutuan serta semangat Malaysia Baharu yang lebih demokratik.
“Tindakan (tangkapan) ini adalah tidak wajar sekali gus menunjukkan kerajaan tidak serius untuk mengangkat suara rakyat marhaen,” jelasnya.
Difahamkan, perhimpunan berkenaan diadakan bagi menuntut isu berkaitan pendidikan, kemiskinan, tanah adat, keselamatan, rumah rakyat, pengangkutan awam, alam sekitar serta peluang pekerjaan rakyat negeri ini.
Himpunan itu diadakan berhampiran bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di Jalan Gaya di sini bersempena dengan sambutan Hari Malaysia ke-55 yang akan dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada malam ini. – K! ONLINE











