UEC : Pas beri kata dua - Utusan Malaysia

UEC : Pas beri kata dua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 16 Sept. – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mesti turut mengiktiraf sijil-sijil daripada pendidikan aliran Islam seperti dari maahad-maahad tahfiz dan sekolah pondok sekiranya bertegas mahu mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Wakil Dewan Muslimat, Siti Makiah Samsudin berkata, langkah itu penting jika mahu dilihat membuka peluang sama rata dan kepada semua rakyat sebagaimana tuntutan yang diperjuangkan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong). 

Katanya, UEC bukan sahaja mensabotaj strategi pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan bahkan, jelas bercanggah dengan status pendidikan yang diamalkan di negara ini. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika kerajaan mahu mengiktiraf UEC sepatutnya dari dulu telah mengiktiraf sekolah agama dan sekolah tahfiz yang telah lama bertapak di bumi Malaysia.

“Jadi Dewan Muslimat Pas ingin menegaskan UEC tidak wajar diiktiraf di Malaysia dan mesti ditolak,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul pendidikan dalam Muktamar Tahunan Pas Pusat Ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak di sini hari ini.

Siti Makiah yang menyokong usul yang dibentangkan wakil Dewan Ulama Pas Pusat Zulkifli Ismail itu turut mempersoal ke mana hala tuju pendidikan negara selepas mencapai separuh abad kemerdekaan di samping penyatuan bangsa sekiranya tuntutan tersebut diluluskan. 

Sementara itu, Zulkifli Ismail mahu mengajak tokoh-tokoh pendidikan dan bahasa, budayawan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya bersatu menyatakan penentangan terhadap cadangan mengiktiraf UEC itu. 

Katanya, tuntutan itu umpama barah yang merbahaya dan tidak lahir dari latar belakang rakyat Malaysia serta sosiobudaya negara ini.

“Ia akan melahirkan generasi yang tidak mempu mencapai integrasi nasional yang akhirnya akan jadi duri dalam daging dalam jangka masa panjang.

“Ini sudah sudah tentu tidak diingini oleh masyarakat negara ini,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini