KUALA TERENGGANU 16 Sept. – Pas diminta tidak menjadikan soal kebobrokan dalam
pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan siri mungkir janjinya kepada rakyat
sebagai modal utama ceramah dan kempen parti.

Perwakilan Dewan Pemuda Pas, Akram Ikrami Taib Azamudden berkata, adakah lebih berkesan jika negeri-negeri yang diterajui Pas dapat ditonjolkan dari segi pencapaian atau kejayaan membanggakan sebagai model corak pemerintahan yang baik.
Katanya, tawaran sedemikian mesti dikemukakan kepada rakyat sejajar pendekatan budaya politik matang sejahtera (DPMS) ke arah meningkatkan keyakinan ramai sekali gus membuktikan kesiapsiagaan Pas dalam memimpin negara.
“Kita mesti faham DPMS membuahkan hasil cukup memberangsangkan. Kita harus amalkan DPMS walaupun kerajaan Persekutuan adalah Pakatan Harapan.
“Apa yang baik itu yang kita sokong sokong, apa yang jahat kita akan berhadapan dengan kerajaan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden di Muktamar Tahunan Pas Ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak di sini hari ini.
Menurut Akram Ikrami, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu menunjukkan
yang Pas masih bersilat dalam gelanggang sendiri sedangkan musuh bergerak maju
mengeksplorasi langkah yang lebih tuntas.
“Hakikatnya PRU-14 membuktikan keperluan penggunaan media sosial sangat memberi kesan khususnya kepada anak muda.
“Sebab itu kita melihat PH menjuarai media baru, dan inilah cabaran besar Pas ketika kita
aktif di meja kuliah dan mimbar masjid,” katanya. -UTUSAN ONLINE











