SHAH ALAM 16 Sept. – Kira-kira 1,000 peserta mengambil bahagian dalam Duathlon Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) 2018 anjuran Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) di Plaza Tol Bukit Jelutong, di sini hari ini.
Acara lasak melibatkan disiplin larian dan berbasikal yang bermula dari pukul 7 pagi hingga 3 petang itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Ir. Mohd. Shuhaimi Hassan.
Program bagi meraikan sambutan Hari Malaysia itu melibatkan jarak sejauh 60 kilometer yang bermula dan tamat di Plaza Tol Bukit Jelutong.
Sebanyak empat kategori dipertandingkan dalam acara duathlon lebuh raya yang julung kali diadakan iaitu Full Duathlon, Dash Duathlon, Team Relay dan Fun Ride dengan hadiah keseluruhan ditawarkan berjumlah RM22,000.
Yang hadir sama, Pengerusi Kumpulan Prolintas, Datin Paduka Jamiah Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah. – UTUSAN ONLINE











