SARJAN Baharuddin Ramli, 54, dan rakannya, Sarjan Norihan Tari,39, langsung tidak berganjak ketika bertempur dengan lebih 13 penyeludup dalam kejadian kira-kira 600 meter dari Tembok Sempadan (TS9), Padang Besar, Perlis baru-baru ini.
Keberanian dua anggota dari Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq itu cukup membanggakan meskipun Baharuddin gugur dalam pertempuran tersebut.
Rakannya, Norihan yang cedera ditembak di bahagian perut seterusnya terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Baharuddin meninggal dunia di lokasi kejadian selepas ditembak menggunakan shotgun di bahagian perut dan dada malah sehingga akhir hayat, wira negara itu masih menggenggam erat pistol automatik Walther P99 yang telah kehabisan peluru itu.
Tragedi menyayat hati itu bagaimanapun tidak sedikit pun melemahkan semangat anggota keselamatan. Malah, mereka tambah bersemangat menjaga dan mengetatkan kawalan sempadan negara daripada dibolosi musuh yang sentiasa mencari peluang dan ruang melakukan aktiviti penyeludupan.
Berikutan itu, PGA mempertingkatkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand dengan mengerakkan kira-kira 500 kekuatan daripada pelbagai unit bagi mempertahankan sempadan negara.

Turut dikerah adalah pasukan operasi dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan pasukan Komando 69 (VAT69) bagi melumpuhkan pergerakan kumpulan penyeludup.
Selain 314 anggota Batalion 3 yang sedia ada bagi melakukan kawalan, PGA juga menggerakkan unit berkuda melibatkan empat ekor kuda, unit udara, unit kereta perisai sebanyak tiga unit sekali gus memberi peringatan jelas aktiviti penyeludupan ini akan dikekang habis-habisan.
Antara lain yang dihantar bagi membantu kawalan tersebut ialah unit dron daripada Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman melibatkan lapan dron dari jenis DJI Matrice 300 yang mempunyai keupayaan terbang selama 50 minit dan Mavic 2 Enterprise.
Kawalan tersebut meliputi keluasan kira-kira 106 kilometer (km) iaitu sepanjang Bukit Kayu Hitam, Kedah, hingga ke Bukit Batu Putih, Kuala Perlis.
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, pihaknya meningkatkan kawalan selepas berlaku beberapa siri tembakan pada 12, 15, 24 November dan terbaharu di sempadan Bukit Kayu Hitam, minggu lalu.
Katanya, anggota di pos-pos kawalan di sempadan juga dikerahkan meningkatkan rondaan namun tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian lagi.

Ujarnya, rondaan itu perlu dijalankan secara berkumpulan dan sebaik-baiknya menggunakan kenderaan Land Rover pihak berkuasa itu.
“Ketika rondaan, seorang boleh melakukan pemeriksaan manakala seorang lagi membuat pemantauan. Hal demikian senang jika berlaku apa-apa perkara tidak diingini.
“Operasi bersepadu melibatkan unit-unit terbabit adalah sehingga 27 November dan mungkin diteruskan jika mendapatkan arahan selanjutnya. Unit kuda antaranya akan melakukan rondaan pada sebelah pagi dan petang selain pemantauan udara serta perisai,” katanya baru-baru ini.
Tambah Abdul Ghani, pergerakan aktiviti penyeludupan dilihat masih ada meskipun kawalan ketat dilakukan di sempadan.
“Kita kesan pergerakan dari sini (penyeludup tempatan) iaitu mereka meletakkan barang (daun ketum) di lokasi-lokasi tertentu dan ia memang berterusan berlaku. Saya lihat sindiket di sini tidak berapa mengancam dengan tidak sampai menggunakan senjata api,” katanya.
Dalam pada itu, kata Abdul Ghani, unit dron juga dihantar bagi memantau pergerakan penyeludup dan kaedah itu yang pernah digunakan sebelum ini telah membawa kejayaan.
Bangga keberanian anggota
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad cukup bangga dengan keberanian yang ditunjukkan anggota tersebut meskipun terpaksa berhadapan dengan ramai penyeludup.

Beliau berkata, pihaknya akan mengekang aktiviti penyeludupan ini secara habis-habisan meskipun menyedari kawasan sempadan yang luas merangkumi belukar dan hutan itu menyukarkan usaha tersebut.
Dalam masa sama, katanya, perhatian perlu diberi kepada usaha memperkemaskan kawasan sempadan negara termasuk langkah membaik pulih pintu pagar sempadan serta menyediakan peralatan sesuai kepada anggota yang menjaga kawasan terlibat.
“Kawasan sempadan kita merangkumi belukar dan hutan yang luas sekali gus agak mustahil untuk kita mengawal sepenuhnya.
“Berbeza di kawasan Thailand yang agak lapang sekali gus memudahkan pasukan keselamatan di sana dalam menjaga sempadan mereka. Benda ini, sukar dikawal sepenuhnya, bila-bila masa ia boleh berlaku (penyeludupan),” katanya.
Seorang anggota daripada Batalion 3 PGA, Koperal Judin Awi berkata, pemergian Baharuddin cukup dirasai namun ia langsung tidak mematahkan semangatnya dan rakan-rakan untuk terus berjuang menjaga kawasan sempadan negara.
“Keberanian mendiang Baharuddin memberi motivasi dan semangat kepada kami untuk terus berjuang dalam mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan ini,” katanya.











