KUALA TERENGGANU 15 Sept. – Dewan Pemuda Pas hari mendesak Kementerian Dalam Negeri menahan edaran buku, The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose yang turut melemparkan fitnah terhadap Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Ketua Penerangannya, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihaknya juga menyokong gesaan Setiausaha Dewan Pangkuan DiRaja Terengganu supaya pengarang buku tersebut, Clare Rewcastle Brown memohon maaf kepada Sultanah dan membetulkan semua fakta yang diselewengkan.
“Sebarang kelewatan atau kegagalan kerajaan Pakatan Harapan bertindak ke atas kes ini akan menguatkan lagi kesangsian terhadap penghormatan, perakuan dan pemeliharaan mereka terhadap Institusi Raja-Raja Melayu.
“Adalah ditegaskan bahawa kami berdiri teguh di belakang institusi ini daripada sebarang usaha mencalar maruah dan menggugatnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Setiausaha Dewan Pangkuan Diraja Terengganu menafikan dakwaan Brown bahawa Sultanah memberikan sokongan kepada individu yang sedang diburu, Low Taek Jho atau Jho Low dalam penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA).
Brown yang juga pengarang portal The Sarawak Report membuat dakwaan dalam buku yang ditulisnya itu.
Hishamuddin berkata, kebebasan bersuara telah diseleweng secara ekstrem dan kotor oleh The Sarawak Report yang kekal menjadikan fitnah sebagai karya utama dan siaran di media itu.
“Fitnah terbaharu mengaitkan Sultanah Nur Zahirah menjadi satu lagi propaganda jahat terhadap Institusi Diraja.
“Perbuatan itu seolah-olah wujud hubungan persekongkolan penerbit itu dengan pihak-pihak yang kini sedang ghairah menggerakkan agenda bersifat ancaman terhadap kedudukan Raja-Raja Melayu.
“Imej negatif sedang dipalit terhadap penaung tertinggi negara dan agama bagi persekutuan Malaysia,” katanya. – UTUSAN ONLINE











