TAIPING – Seorang lelaki yang menyertai latihan payung terjun cedera selepas payung terjun yang dikendalikannya tersasar dan tersangkut pada kubah Masjid Al Hidayah dekat Tekah di sini hari ini.
Payung terjun yang dikendalikan oleh Mohamad Affizul Mohamad Bee, 25, tersasar pada kubah masjid dipercayai akibat tiupan angin sebelum lelaki itu menggelongsor ke bahagian bumbung masjid.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Rafeel Hairul Richard berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.48 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, operasi menurunkan mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian belakang badan segera dijalankan menggunakan tali dan pengusung.
“Kerja-kerja menurunkan mangsa mengambil masa antara lima ke 10 minit. Kita menggunakan tandu bagi menurunkan mangsa yang cedera dari tempat tinggi.
“Mangsa mempunyai pengalaman dalam mengendalikan payung terjun namun kemungkinan faktor angin menyebabkan payung terjunnya tersasar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.

Rafeel Hairul berkata, saksi yang melihat kejadian memaklumkan mangsa sempat berpaut pada kubah itu, sebelum jatuh ke bahagian bumbung setinggi kira-kira tiga meter.
Katanya, anggota yang tiba di lokasi kejadian mendapati mangsa dalam keadaan sedar namun, tidak dapat bergerak akibat kecederaan di bahagian belakang.
Ujar Rafeel Hairul, mangsa diserahkan kepada pihak ambulans untuk dibawa ke hospital dan operasi menyelamat tamat pada pukul 4.25 petang.
Difahamkan, latihan payung terjun itu dilakukan oleh sebuah kelab rekreasi dan disertai seramai 22 orang peserta. – K! ONLINE











