Aura juara Azzam Shah - Utusan Malaysia

Aura juara Azzam Shah

Kejayaan menjuatrai Big Stage musim ke-3 menjadikan ramai yang terpukau dengan suara Azzam Shah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bermula sebagai penyanyi sejak kecil menerusi program realiti, Idola Kecil, pemuda ini terus melangkah mencipta nama dengan usaha sendiri. Dia lelah, namun usaha pasti berbalas dengan kejayaan.

Percubaannya sebelum ini mungkin tidak begitu menyerlahkan namanya. Ya, peminat tahu kehadiran Azzam Shah dalam industri. Namun sekadar itu. Putarannya tetap dalam ruang lingkup sama.

Namun segalanya berubah apabila Azzam dinobatkan sebagai juara program realiti, Big Stage musim ke-3. Ramai yang mula terpukau dengan kehebatan suara. Ramai juga yang sudah ‘jatuh cinta’ dengan peribadi pemuda ini.

“Memang berbeza sekali. Dulu mungkin peminat antara sedar atau tidak kewujudan saya dalam industri. Memang lagu didengari jutaan peminat namun sekadar itu sahaja. Namun, segalanya berubah kini.

“Peminat mula mendengar single baharu dan lagu-lagu saya sebelum ini. Pengikut di media sosial juga semakin bertambah. Banyak perkara baik yang berlaku dalam sekelip mata.

“Malah, lagu baharu, Cinta Jangan Pergi juga mendapat komen positif peminat. Mereka suka dengan buah tangan saya selepas bergelar juara Big Stage. Itu satu pencapaian peribadi,” katanya memulakan bicara.

CABAR DIRI

Benar, dia bukan peserta pilihan. Apatah lagi untuk menjuarai program realiti yang membariskan beberapa peserta yang lebih popular. Jadi dia seperti peserta underdog. Yang bukan juara pilihan pada awalnya.

Namun perlahan dia membina kredibiliti. Persembahan demi persembahan meletakkan dia sebagai antara pesaing yang perlu diperhati. Dia belajar daripada setiap kesilapan. Dia berusaha memberi yang terbaik.

“Memang agak tertekan pada mulanya. Tetapi rezeki tak pernah salah alamat kan. Saya nak tunjuk kemampuan. Saya tak mahu orang lihat Azzam yang lama. Nak tunjuk pembaharuan dan peningkatan saban minggu.

“Saya cuba susunan muzik baharu. Belajar benda baharu. Saya cabar diri menyanyikan lagu-lagu di luar keselesaan saya. Itu adalah strategi saya dan percaturan itu berjaya. Alhamdulillah, “ katanya.

Satu lagi pengajaran yang mematangkan dirinya adalah untuk tidak melatah tatkala berdepan kontroversi. Dikatakan tidak sensitif terhadap penyingkiran rakan seperjuangan, Farisha Irish, Azzam mematangkan diri daripada pengalaman ini.

“Pertama sekali saya belajar untuk tidak cepat melatah apabila berhadapan kontroversi begitu. Saya dan Farisha okay. Memang dia terasa hati sedikit tetapi kami belajar daripada kontroversi ini.

“Silap saya juga yang tidak pandai berseloroh. Tetapi macam saya cakap, kontroversi ini mematangkan kami berdua. Setakat ini hubungan persahabatan kami kekal terjalin. Begitu juga dengan peserta lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×