Pesalah cemarkan sungai di Selangor perlu dihukum berat - Utusan Malaysia

Pesalah cemarkan sungai di Selangor perlu dihukum berat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Kerajaan negeri disaran supaya melaksanakan penguatkuasaan yang lebih serius terhadap mereka yang melepaskan sisa buangan ke sungai.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, baginda dimaklumkan terdapat empat atau lima buah sungai di negeri ini telah tercemar dengan bahan-bahan buangan dari sisa pepejal dan sisa toksik. 

“Jika perlu, undang-undang hendaklah dibuat untuk mengenakan hukuman yang berat kepada pesalah-pesalah yang mencemarkan sungai-sungai di negeri Selangor ini. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selain daripada itu, pendidikan kepada masyarakat perlu ditambah lagi seperti mengadakan kempen-kempen yang memberi kesedaran agar menjaga kebersihan sungai-sungai yang menjadi salah satu sumber air di Selangor,” titahnya.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian semasa merasmikan istiadat pembukaan penggal kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-14 di sini, hari ini.

Turut berangkat mengiringi baginda ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Sultan Sharafuddin turut mengingatkan bekalan air merupakan keperluan paling asas di dalam kehidupan manusia dan merupakan anugerah Ilahi yang perlu dijaga dan diuruskan dengan amanah dan berhemah. 

Justeru, titah Sultan Sharafuddin selain daripada tumpuan kepada menambah baik pengurusan perkhidmatan bekalan air hendaklah memfokuskan pendidikan kepada rakyat. 

“Kerajaan Negeri bersama-sama dengan agensi seperti Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) perlu mendidik rakyat supaya mereka sedar akan tanggungjawab menghargai air dan tidak menggunakannya dengan sewenang-wenang dan membazir,” titah baginda. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini