JOHOR BAHRU 17 Mac – Menter Besar Johor, Datuk Osman Sapian menjelaskan lawatan kerja ke Batam. Indonesia sudah dirancang lebih awal dan amat penting dalam usaha kerajaan negei meningkatkan kerjasama pelaburan antara Johor dengan wilayah itu.
Walau bagaimanapun, lawatan kerja berkenaan dikritik hebat pengguna media sosial apabila berlangsung ketika Pasir Gudang sedang berhadapan dengan krisis pencemaran di Sungai Kim Kim.
Beliau berkata, lawatan kerja ke Batam amat penting bagi meningkatkan pelaburan dalam industri pelancongan dan perdagangan lain antara Johor dengan Batam.
“Lawatan kerja ini asalnya selama tiga hari namun kami memendekkan lawatan tersebut hingga kurang sehari atas keperluan mendesak untuk mengurus operasi pembersihan di Pasir Gudang.
“Saya telah membatalkan beberapa sesi pertemuan lain ketika sesi lawatan kerja, namun beberapa mesyuarat penting yang tidak dapat dielakkan terpaksa dilaksanakan. Ini adalah penting sebagai persediaan kerajaan negeri dalam menghadapi Tahun Melawat Johor 2020,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Sebelum ini warganet mempertikaikan kewajaran Osman dan rombongannya ke Batam kerana didakwa masanya tidak sesuai dalam keadaan pencemaran toksik masih berlarutan dan bilangan mangsa terus bertambah sehingga ke hari ini.
Osman berterima kasih kepada Wali Kota Batam, Muhammad Rudi kerana memahami punca beberapa sesi lawatan dan mesyuarat terpaksa dibatal dan dipendekkan kerana bencana di Pasir Gudang.
“Malah mereka juga melahirkan rasa sedih atas kejadian ini. Sepanjang kurang 24 jam saya di Batam, pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana sentiasa berhubung dengan saya setiap dua jam untuk memastikan segala keperluan dan operasi mengawal bencana berjalan lancar dan teratur.
“Justeru, saya berharap agar penjelasan ini dapat merungkai salah faham atau kekeliruan dalam kalangan rakyat,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan dan agensi yang gigih berkerja 24 jam tanpa henti bagi mengurus dan mengawal operasi bencana toksik terssebut. – UTUSAN ONLINE











