KUALA LUMPUR 17 Mac- Beberapa peralatan yang digunakan untuk menyelenggara sebuah bot memancing terbakar di Marina Bay, Miri, Sarawak pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 pagi itu, beberapa gentian serta gam yang diletakkan di atas bot itu tiba-tiba terbakar.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.21 pagi dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Ketika kejadian, pemilik bot berkenaan tidak berada di lokasi dan kebakaran itu telah dipadam oleh orang awam.
“Bagaimanapun, kejadian itu tidak menjejaskan struktur bot berkenaan. Kita telah membuat pemantauan bagi memastikan api dipadam sepenuhnya dan operasi tamat pada pukul 10.55 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











