KEMAMAN – Seekor tapir betina seberat lebih 100 kilogram maut selepas dirempuh oleh sebuah kereta Perodua Axia yang dipandu seorang jururawat di Kilometer 156, Jalan Jerangau – Jabor berhampiran Taman Perumahan Jabor dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 9.30 malam itu, Norinda Ismail, 30, yang bekerja di Hospital Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang pula terseliuh tangan kirinya akibat kemalangan tersebut.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, sewaktu kejadian, Norinda dalam perjalanan pulang ke rumah di Bandar Baru Cheneh dekat sini dari tempat kerjanya di Kuantan.
“Tapir betina dewasa berkenaan dikatakan tiba-tiba melintas jalan sehingga menyebabkan kereta Perodua Axia dipandu mangsa tidak dapat mengelak lalu merempuh haiwan dari spesies dilindungi itu.
“Impak dari kemalangan itu, kereta dinaiki mangsa hilang kawalan lalu terbabas memasuki kawasan semak berhampiran,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Said berkata, tapir berkenaan mati di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badannya. – K! ONLINE











