PUTRAJAYA 16 Mac – Rakyat Malaysia perlu mempunyai sifat malu gagal jika ingin berjaya, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Menurut Perdana Menteri, perasaan malu boleh mendorong kita melakukan pekerjaan dengan lebih baik dan bersungguh-sungguh seterusnya mengecapi kejayaan serta kekayaan.
Beliau menarik perhatian orang Jepun yang mempunyai sifat malu daripada kegagalan sehingga sanggup membunuh diri.
Malah katanya, kerana malu dikatakan gagal membangunkan negara daripada kekalahan perang dunia kedua, Jepun telah bangkit dalam waktu yang singkat dan menjadi kuasa ekonomi kedua dunia.
Bangsa Jepun juga kata Perdana Menteri, telah mengeluarkan kereta yang diakui berkualiti kerana pekerja-pekerja mereka akan berasa malu sekiranya menghasilkan produk berkualiti rendah.
Jelasnya, atas dasar itulah kerajaan telah memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur supaya kejayaan bangsa di Timur ini dicontohi oleh rakyat Malaysia.
“Perasaan malu boleh mendorong kita membuat kerja dengan lebih baik. Kalau kita terkenal dengan barang berkualiti, dunia akan hormati kita, kita akan maju dan beri kekayaan kepada negara serta masyarakat,” katanya berucap melancarkan program Ikon Remaja Wilayah Persekutuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.
Program Ikon Remaja Wilayah Persekutuan melibatkan penyertaan 2,000 remaja berusia 12 hingga 17 tahun.
Program itu bertujuan membimbing remaja untuk mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap matlamat hidup dan tanggungjawab kepada diri, tuhan, keluarga, bangsa dan negara.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, golongan remaja merupakan pewaris negara pada masa hadapan dan mereka boleh menjadikan kejayaan orang lain seperti bangsa Jepun sebagai ikon untuk lebih berjaya.
“Kalau kita terkenal seperti bangsa Jepun dan Korea, kehidupan kita jadi lebih baik, dipandang tinggi oleh bangsa lain.
“Usaha menjadikan negara maju menjelang 2025 sudah tentu bukan untuk orang tua seperti saya, tetapi untuk orang muda yang akan ambil alih, tugas diberi kepada kita supaya majukan diri, masyarakat dan negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE











