PULAU PINANG 15 Mac – Pelbagai jenis bahan kimia yang masih belum dikenal pasti jenisnya didapati telah dibuang di ladang kelapa sawit, Bukit Teh, Bukit Mertajam dipercayai sejak awal bulan ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Saadon Mokhtar yang mengesahkan penemuan itu memaklumkan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah meminta bantuan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) JBPM untuk memeriksa jenis bahan kimia itu hari ini.
Menurutnya, pemilik ladang kelapa sawit itu telah membuat laporan kepada pihak JAS mengenai pembuangan pelbagai bahan kimia itu dalam ladangnya.

“Pasukan Hazmat telah mengambil sampel bahan kimia berkenaan untuk membuat ujian lanjut.
“Pemeriksaan dan penilaian awal yang dibuat bersama-sama pegawai JAS mendapati bahan kimia itu tidak meruap tetapi mengeluarkan bau,” katanya di sini hari ini.
Ujar Saadon, ketika ini proses mengalihkan dan membuang semua bahan kimia itu ke lokasi yang sepatutnya sedang dijalankan oleh sebuah syarikat kontraktor yang di lantik oleh JAS.
“Pihak JAS juga telah menghantar sampel bahan-bahan kimia itu kepada Jabatan Kimia untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai bahan tersebut. Kawasan ladang kelapa sawit ini terletak jauh daripada rumah penduduk,” katanya.
Tambah Saadon, setakat ini difahamkan tiada mangsa terjejas dengan bahan kimia tersebut.











