Tourism Malaysia sasar jualan RM1 juta - Utusan Malaysia

Tourism Malaysia sasar jualan RM1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Mac – Program Tourism Malaysia Travel Mart 2019 yang diadakan bersempena Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini dijangka menjana pulangan kontrak sebanyak RM1 juta.

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, program anjuran Tourism Malaysia itu merupakan platform bagi pengusaha pelancongan dengan pengusaha produk dan hotel bekerjasama menawarkan pelbagai pakej pelancongan domestik yang menarik untuk pelancong.

“Ia berkonsepkan perniagaan ke perniagaan (B2B) yang mampu mewujudkan jaringan perniagaan antara pengusaha produk tempatan untuk menjual produk mereka kepada pengusaha pelancongan yang mahu mempunyai pelbagai pakej menarik untuk ditawarkan kepada para pelancong,’’ katanya ketika berucap merasmikan program itu baru-baru ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mohamaddin Ketapi berkata, usaha itu tepat pada masanya kerana negara sedang giat membuat persediaan untuk menganjurkan Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY2020) yang menyasarkan 30 juta pelancong asing dengan penjanaan pendapatan negara sebanyak RM100 bilion.

Program Tourism Malaysia Travel Mart 2019 yang berlangsung di Hotel Seri Pacific di sini disertai oleh 200 pembeli produk iaitu pengusaha pelancongan manakala 60 penjual terdiri daripada pengusaha produk dan hotel.

Sementara itu, Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) yang bermula hari ini sehingga Ahad Mac ini menyasarkan jualan RM210 juta.

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang berkata dianggarkan 100,000 pelawat akan ke pameran selama tiga hari itu yang menempatkan 1,354 gerai dengan tawaran pelbagai produk dan pakej pelancongan.

“Pengunjung berpeluang menikmati tambang, hotel serta pakej pelancongan pada harga diskaun selain destinasi baharu,’’ katanya pada sidang media prapameran, di PWTC.- BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini