PUTRAJAYA 15 Mac – Keganasan tiada sempadan dan tiada jaminan ia tidak akan berlaku di tempat lain termasuk di Malaysia, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Menurut Perdana Menteri, apa yang sepatutnya dilakukan oleh masyarakat antarabangsa ialah mengenal pasti punca kepada perlakuan tersebut dan berusaha menanganinya.
Perdana Menteri berkata, beliau pernah menulis surat kepada Perdana Menteri Britain, Teresa May memaklumkan bahawa mereka tidak boleh menentang keganasan seperti menentang peperangan konvensional.
“Ini kerana, anda tidak tahu di mana mereka akan serang. Cara terbaik untuk menentang keganasan ialah fahami kenapa mereka melakukan tindakan itu dan cuba atasinya,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan kad keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia(Bersatu) kepada enam wakil rakyat dan dua senator dari Sabah di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Dr. Mahathir diminta mengulas insiden tembakan di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand yang mengorbankan lebih 40 nyawa dan mencederakan lebih 20 orang termasuk dua rakyat Malaysia.
Menurut Perdana Menteri, Malaysia bertuah kerana insiden berkenaan tidak berlaku di negara ini kerana mempunyai anggota perisikan yang bagus.
“Anggota perisikan kita bagus, mereka tahu siapa mereka (kumpulan pengganas), pergerakan mereka dan kita telah tahan sebahagiannya serta cuba memulihkan mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE











