BALIK PULAU – Ibu kepada salah seorang mangsa serangan insiden tembakan di Christchurch, New Zealand, Rahimi Ahmad, 39, menarik nafas lega selepas menerima berita anak lelakinya itu terselamat dalam insiden berkenaan.
Rokiah Mohamad, 65, mendapat berita tersebut kira-kira pukul 6.30 petang hari ini selepas menerima kunjungan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz yang menziarahi keluarganya di Kampung Binjai, Bayan Lepas di sini.
Rokiah berkata, dia bersyukur sebaik sahaja menerima berita itu biarpun dimaklumkan anaknya kini sedang dirawat di hospital kerana terkena tembakan pada rusuk.
“Selepas mendapat berita mengenai insiden itu menerusi televisyen saya tidak mampu berbuat apa-apa selain berdoa keselamatan anak, cucu dan semua yang berada di masjid ketika itu.
“Saya amat berharap agar ada pihak yang membantu kami untuk ke sana, saya tidak senang hati mengenangkan keadaan mereka,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menerusi laporan nzherald.co.nz, Rahimi dipercayai berada dalam keadaan selamat selepas dipercayai terkena tembakan dalam serangan itu.
Manakala, anak lelakinya, Ahmad Razif, 11, yang berada di luar masjid ketika itu dikatakan sempat di selamatkan oleh jemaah lain.
Namun, setakat ini Wisma Putra masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keadaan Rahimi yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat tenusu di Christchurch.
Setakat ini, dilaporkan 49 orang maut, manakala 20 lagi parah dalam serangan bersenjata di dua masjid di Christchurch hari ini.
Dalam pada itu, Rokiah berkata, dia kali terakhir dihubungi oleh Rahimi kelmarin menerusi telefon bagi bertanyakan khabar sambil memaklumkan isterinya, Noor Azila Abd Wahid berjaya lulus dalam peperiksaan di Universiti Cantebury.
Sementara itu, Azrul Mahathir berkata, beliau mendapat berita itu daripada rakan rapat Rahimi yang berada di Christchurch.
“Saya dimaklumkan Rahimi selamat dan dia cedera akibat terkena tembakan pada rusuk dan kini dirawat di hospital.
“Buat masa ini difahamkan isteri Rahimi telah berada disisinya dan dia telah menjalani pembedahan untuk membuang peluru tetapi difahamkan satu lagi pembedahan akan dijalankan esok,” katanya. – K! ONLINE











