KUALA LUMPUR 15 Mac – Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengambil tindakan tegas dengan menutup tujuh premis yang dikuasai oleh warga asing dalam satu operasi di Lot Komersial Serdang Perdana 5, Seri Kembangan Selangor, malam semalam.
Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, tindakan bersama Jabatan Imigresen Negeri Selangor itu ekoran pengusaha melakukan pelbagai kesalahan seperti menggaji pekerja asing tanpa permit dan beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah.
Katanya, operasi bersepadu itu diketuai oleh Pengarah Jabatan Pelesenan MPSJ, Muhammad Azli Miswan bersama 47 anggota MPSJ dari Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan serta 11 anggota dari Jabatan Imigresen Negeri Selangor.
“Tindakan diambil mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MPSJ) 2007 dan Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan (MPSJ) 2013.
“Pada masa sama, MPSJ turut mengambil tindakan sita pakaian kepada penjaja Nigeria yang berniaga tanpa kebenaran MPSJ,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, MPSJ sentiasa mengambil tindakan tegas dan proaktif dalam menangani isu berkaitan premis yang diuruskan oleh warga asing.
“Berdasarkan rekod bermula Januari sehingga Februari lalu, sebanyak 200 tindakan penguatkuasaan termasuk notis tawaran kompaun, sitaan barangan dan penutupan premis dijalankan.
“Ini membabitkan pelbagai aktiviti perniagaan yang didapati melanggar syarat-syarat pelesenan seperti mengaji warga asing tanpa permit yang sah dan menyewakan lesen pada warga asing termasuk aktiviti perniagaan tanpa lesen yang diusahakan oleh warga asing,” katanya. – UTUSAN ONLINE











