KUALA LUMPUR 15 Mac – Di tengah-tengah amaran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaya (SKMM) supaya rakyat tidak berkongsi insiden tembakan di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand hari ini, warganet pula berbahagi pendirian.
Pada satu pihak, ada yang bersetuju agar video pembunuhan itu tidak dikongsi kerana itulah yang dimahukan oleh pengganas yang melakukannya.
“Jangan kita berkongsi video paparan langsung tembakan di masjid di Christchurch.
“Itu yang dikehendaki oleh pengganas tersebut, agar ia tersebar luas dan lebih ramai terinspirasi dengan keganasannya,” kata pengguna Facebook, Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar.
Namun ada pula yang berpandangan video tersebut perlu dikongsi.
Menurut mereka, insiden serangan pengganas itu berlaku akibat salah faham yang digembar-gemburkan oleh pihak tertentu sehingga menimbulkan perasaan benci dan menyemai fahaman islamophobia terhadap umat Islam.
“Kongsikan saja video tersebut tanpa rasa bersalah. Biar dunia melihat kekejaman yang berlaku akibat dari fahaman islamophobia. Fahaman ini bukan saja subur di New Zealand, bahkan sedang disemai di Malaysia, melalui media-media berfahaman anti-Islam.
“Saya tak perlu sebut nama media-media tersebut kerana kita semua sudah sedia maklum media yang mana. Melainkan ada permintaan dari kaum keluarga mangsa, kongsikan saja dan biarkan dunia melihat dan menjadi saksi kesyahidan para syuhada,” kata pengguna Facebook, Aidil Khalid.
SKMM dalam satu kenyataan memberitahu, tindakan tidak berkongsi video itu adalah perlu bagi mengelakkan berlakunya sebarang kejadian tidak diingini yang boleh mengundang suasana panik dan marah dalam kalangan masyarakat.
Menurut kenyataan berkenaan, tindakan tersebut adalah perlu bagi mengelakkan berlakunya sebarang kejadian tidak diingini yang boleh mengundang suasana panik dan marah dalam kalangan masyarakat.
“Sebarang perkongsian kandungan yang bersifat mengancam dan jelik merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.”
Sehingga kini jumlah korban akibat insiden keganasan itu meningkat kepada 49 orang. Pihak berkuasa New Zealand memberitahu, lebih 20 orang lagi dilaporkan cedera akibat ditembak dan kini dirawat di hospital.
Angka kematian juga dijangka meningkat kerana ramai mangsa yang cedera itu berada dalam keadaan kritikal.- UTUSAN ONLINE











