Insiden Christchurch: Dua rakyat Malaysia cedera - Utusan Malaysia

Insiden Christchurch: Dua rakyat Malaysia cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 15 Mac – Dua rakyat Malaysia dilaporkan cedera dalam insiden serangan bersenjata di masjid di Christchurch, New Zealand hari ini.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memberitahu, kedua-dua mereka kini dirawat di hospital di sana.

“Sehingga pukul 3 petang waktu Malaysia, tiada rakyat Malaysia dilaporkan menjadi korban insiden berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Walau bagaimanapun, dua rakyat Malaysia cedera dalam insiden itu dan dirawat di hospital,” katanya di sini hari ini.

Pada pukul 1.40 petang waktu tempatan hari ini, berlaku insiden tembakan di Masjid Al-Noor Mosque dekat Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand yang mengorbankan 40 nyawa.

Insiden itu turut dilaporkan menyebabkan 20 orang cedera.

Wisma Putra menambah, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan itu dan berharap mereka yang bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan.

Menurutnya, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington berhubung dengan rakyat Malaysia di Christchurch dan sedang memantau situasi berkenaan secara teliti.

Tambahnya, talian hotline telah disediakan oleh pihak pesuruhjaya tinggi untuk menjawab sebarang pertanyaan berhubung situasi semasa.

“Ingatan dan doa kami adalah kepada mangsa dan keluarga yang terlibat dalam insiden ini,” katanya.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington boleh dihubungi menerusi alamat 10, Washington Avenue, Brooklyn, Peti Surat 9422, Wellington 6021, New Zealand.

Orang ramai boleh menghubungi nombor telefon 00-64-210440188, 00-64-4385 2439, 00-64-4801 5659 atau emel ke [email protected] dan [email protected]. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini