Pembantu rumah lari, tinggalkan anak majikan - Utusan Malaysia

Pembantu rumah lari, tinggalkan anak majikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila tiga orang anak mereka ditinggalkan tanpa pengawasan dengan pintu rumah tidak berkunci selepas pembantu rumahnya bertindak melarikan diri dari sebuah kondominium di Mount Kiara di sini semalam.

Menurut Shazrina Abd. Kahar, sewaktu kejadian dia dan suami berada di sebuah hospital di Kota Damansara untuk mendapatkan rawatan fisioterapi akibat sakit belakang yang dialaminya pada pukul 1.20 petang. 

Katanya, dia menyedari ketiadaan pembantu rumah bernama Nadya Julianti, 38, yang baharu digajikan sejak akhir Disember lalu selepas memeriksa rakaman televisyen litar tertutup di rumahnya melalui telefon bimbit. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Jelas Shazrina, anak lelakinya yang berusia dua tahun setengah serta kembar perempuan berusia setahun setengah itu ditinggalkan selama tiga jam tanpa pengawasan oleh pembantu rumah berasal dari Medan, Indonesia.   

“Saya dan suami bergegas pulang selepas mendapati tiada kelibat pembantu rumah dan sebaik tiba di rumah anak-anak saya sedang menangis tanpa henti kemungkinan berada dalam keadaan ketakutan. 

“Kami kecewa dengan tindakan pembantu rumah yang meninggalkan kanak-kanak kecil sendirian di rumah tanpa memikirkan keselamatan mereka sedangkan gaji pendahuluan berjumlah RM1,000 telah dikirimkan kepada keluarganya di Indonesia walaupun mengikut perjanjian gaji hanya perlu diberikan selepas tiga bulan dia bekerja,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini. 

Shazrina memberitahu, laporan polis berhubung tindakan pembantu rumahnya melarikan diri dibuat oleh suaminya di Balai Polis Sri Hartamas semalam. 

“Setakat ini tiada barang berharga milik kami yang dilarikan, namun laporan itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menyenarai hitamkan pembantu rumah tersebut agar tiada lagi ibu bapa yang mengalami nasib seperti kami,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini