KUALA LUMPUR – Tiada sebarang tangkapan baharu dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes pembuangan sisa bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor Bharu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, sehingga masa kini, sebanyak 51 laporan polis telah dibuat berkenaan kes tersebut.
“Saya juga sudah dimaklumkan oleh Ketua Polis Johor bahawa tiada sebarang tangkapan baharu dilakukan.
“Kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 278 dan 284 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang akhbar Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Negara dan Naib Pengerusi PERKEP di Pusat Latihan Polis di sini hari ini.
Mohamad Fuzi menambah, pihak PDRM juga telah menempatkan lebih 150 pegawai dan anggota polis.
“Kesemua anggota dan pegawai yang ditempatkan terdiri daripada Pasukan Gerakan Am (PGA), tugas am dan Pasukan Peronda Polis (MPV).
“Sekatan jalan raya turut dibuat di kawasan terlibat untuk memastikan kawalan keselamatan trafik terjamin,” ujarnya.
Ketika diminta untuk mengulas berkenaan jenis bahan kimia yang dibuang, beliau memberitahu bahawa pihak jabatan kimia masih menjalankan siasatan terhadap jenis bahan kimia yang dibuang di sungai berkenaan.
Pada Khamis lalu, media melaporkan 1,400 pelajar sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan Taman Pasir Puteh diarah mengosongkan kawasan sekolah apabila beberapa pelajar mengalami sesak nafas, muntah dan pengsan selepas terhidu gas dipercayai daripada bahan kimia yang dibuang ke dalam sungai tersebut.











