PASIR GUDANG 15 Mac – Kerajaan negeri mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu menyumbangkan penutup hidung dan mulut jenis R95 kepada mereka yang terjejas akibat pencemaran toksik di Sungai Kim Kim di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian, Dr. Sahruddin Jamal berkata, kerajaan negeri lain yang mahu menyumbang kelengkapan keselamatan itu juga dialu-alukan berbuat demikian.
Menurutnya, ini berikutan terdapat rungutan daripada orang ramai terhadap bekalan penutup hidung dan mulut jenis R95 tidak diperoleh di sekitar Pasir Gudang dan bandar raya ini.
“Saya difahamkan bekalan R95 itu amat terhad di pasaran, malah ramai yang mengadu sukar untuk mendapatkan barangan itu.
“Jadi, mana-mana pihak atau kerajaan negeri yang ingin menyumbang penutup hidung dan mulut itu kita mengalu-alukan bantuan mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana, Menara Aqabah di sini sebentar tadi.
Sahruddin berkata, pada masa ini, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan beberapa pihak lain ada menyumbang. – UTUSAN ONLINE











