LONDON 15 Mac – Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri berharap pasukannya akan bertemu Napoli dalam saingan akhir Liga Europa selepas melihat Blues cemerlang meraih kemenangan 5-0 menewaskan Dynamo Kiev di Ukraine, awal pagi tadi.
Kata Sarri, Napoli adalah antara pasukan ingin dielak daripada bertemu dalam undian suku akhir yang akan berlangsung malam ini di Nyon.
“Saya lebih berminat untuk bertemu Napoli dalam saingan akhir berbanding aksi suku akhir atau separuh akhir.
“Berdasarkan sejarah saya bersama Napoli, pastinya ia akan menyukarkan kami andai bertemu mereka dalam saingan suku akhir,” kata Sarri.
Napoli yang pernah dibimbing oleh Sarri melangkah ke saingan suku akhir Liga Europa selepas meraih kemenangan dengan agregat 4-3 biarpun tewas 1-3 dalam aksi 16 akhir kedua menentang FC Salzburg, awal pagi tadi.
Selain Chelsea dan Napoli baki enam pasukan yang berjaya melangkah ke saingan suku akhir Liga Europa ialah Arsenal, Benfica, Frankfurt, Slavia Praha, Valencia dan Villarreal. – AGENSI











