MANAGUA 14 Mac – Seorang kanak-kanak dua tahun dijumpai masih hidup selepas lima hari hilang di daerah Murra, Nicaraguan tanpa makanan, air atau pakaian.
Mirror melaporkan, kanak-kanak lelaki yang dikenali sebagai Anthony Yohendri Montenegro Herrera itu dijumpai 300 meter dari rumah ibu bapanya.
Keluarga kanak-kanak tersebut bimbang sesuatu yang buruk telah terjadi terhadapnya namun bernasib baik, dia dijumpai di tengah-tengah semak.
Doktor yang memeriksa anak lelaki itu mengatakan bahawa dia sangat kotor dengan keadaan kulit yang berduri tetapi sihat.
Bapa kanak-kanak itu, Lazaro Montenegro percaya bahawa seseorang mungkin mengambil anaknya sebelum membebaskannya.
Polis tempatan sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti terdapat unsur jenayah atau tidak susulan kehilangan kanak-kanak berkenaan. -AGENSI











