KUALA LUMPUR 14 Mac – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melanjutkan tempoh permohonan dalam talian bagi Bazar Ramadan 2019 sehingga 21 Mac ini.
Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Norhaslinda Nordin berkata, permohonan yang sepatutnya tamat pada hari ini dilanjutkan memandangkan kaedah permohonan secara dalam talian bagi tahun ini pertama kali dilaksanakan.
“Ini bagi memberi peluang kepada lebih ramai untuk memohon,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Permohonan melalui laman web http://elesen.dbkl.gov.my/ebazar yang diterima mulai 15 Februari hingga hari ini akan mula disemak dan diproses oleh DBKL bagi menentukan kelayakan untuk proses pengundian.
Sehubungan itu kata Norhaslinda, maklumat permohonan yang telah diterima sehingga ini tidak boleh dikemas kini lagi. – UTUSAN ONLINE











