KUALA LUMPUR – Sebuah sindiket perjudian online yang mengaut keuntungan bersih RM300,000 sebulan berjaya ditumpaskan polis dengan serbuan di Solaris Dutamas, Jalan Dutamas di sini Selasa lalu.
Polis turut menahan 14 lelaki warganegara Indonesia di rumah kedai tiga tingkat yang dijadikan pusat operasi sindiket perjudian online tersebut.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, premis rumah kedai itu disyaki menjadi pusat panggilan dan pengiraan untuk operasi perjudian sindiket tersebut.
“Siasatan lanjut mendapati sindiket tersebut memperolehi wang pertaruhan yang mencecah RM1.5 juta sebulan dan keuntungan yang boleh mencapai RM300,000 sebulan.
“Mereka turut menggunakan remote TAC untuk sebarang urusan transaksi wang oleh pelanggan ke dalam 144 akaun yang diwujudkan sindiket tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Sindiket tersebut menyasarkan pelanggan dari negara Indonesia dan kesemua transaksi dilakukan dalam nilai mata wang Rupiah.
Mazlan menambah, pihaknya turut merampas beberapa peralatan berkaitan sindiket antaranya 15 unit komputer, 110 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 144 remote TAC, tiga unit router dan empat modem.
“Jumlah keseluruhan rampasan tersebut dianggarkan bernilai RM100,000.
“Kesemua suspek telah direman selama 14 hari sehingga 26 Mac ini dan disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya. – K! ONLINE











