KUALA LUMPUR – Kegiatan enam sahabat termasuk seorang wanita yang menyara hidup dengan hasil jualan alat ganti motosikal curi sejak awal tahun dilumpuhkan selepas kesemua mereka ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Noor Azmi Yusoff berkata, kegiatan mereka terbongkar selepas polis menahan seorang lelaki dalam serbuan pertama di Wangsa Maju pukul 11 pagi.
Katanya, hasil soal siasat daripada suspek tersebut membawa kepada penangkapan lima suspek lain termasuk seorang wanita di Setapak dan Ampang, Selangor.
“Hasil siasatan mendapati kesemua suspek tersebut aktif mencuri motosikal sejak awal tahun dan mereka mensasarkan motosikal berdasarkan permintaan,” katanya.
Difahamkan, motosikal jenis Honda EX-5, Yamaha LC135 serta Yamaha 125z dipercayai mendapat permintaan tinggi.
Menurutnya lagi, dalam serbuan itu polis turut merampas lima buah motosikal serta pelbagai alat ganti dipercayai hasil curi.
“Dua motosikal mempunyai rekod curi, dua lagi milik mereka yang digunakan untuk melakukan jenayah manakala sebuah lagi kita sedang menyiasat sama ada motosikal curi atau sebaliknya berikutan nombor casisnya sudah dipadamkan.
“Kesemua suspek berusia lingkungan 17 hingga 39 tahun itu kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” ujarnya. – K! ONLINE











