KUBANG PASU 14 Mac – Sebanyak 378 calon daripada 13 sekolah di negeri ini memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018.
Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Abd. Aziz Selaiman berkata, jumlah itu melibatkan pelajar yang mendapat gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran diduduki.
“Seramai tujuh orang calon daripada lima sekolah kerajaan berjaya meraih keputusan cemerlang dengan memperoleh pangkat A+ dalam semua subjek yang diambil.
“Bagi Gred Purata Negeri (GPN) didapati ada peningkatan sebanyak 0.02 mata antara 2017 dan 2018. Bagi SPM kali ini, GPN dicatatkan 5.05 berbanding 5.07 pada tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Pengumuman Keputusan SPM di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu, di sini hari ini.
Seramai 32,003 orang calon daripada 261 buah sekolah menduduki peperiksaan SPM 2018 di Kedah, bermula pada 13 November hingga 13 Disember tahun lalu.
Tambah Abd. Aziz, Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) Sejarah menunjukkan peningkatan tertinggi iaitu sebanyak 0.23 mata, daripada 5.39 kepada 5.16.
Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keat Hwa 1, Ooi Shi Ern diumumkan sebagai pelajar cemerlang negeri ini dengan memperoleh 11A+.
Manakala, Aida Solehah Ahmad Fauzi dari SMK Sultanah Bahiyah pula meraih kesemua A dalam lapan mata pelajaran didudukinya bagi kategori pelajar istimewa. – UTUSAN ONLINE











