KOTA BHARU 13 Mac – Seorang pemuda yang bakal melangsungkan perkahwinan pada minggu depan maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah jentera bomba di persimpangan lampu isyarat di Wakaf Che Yeh, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 6.05 petang, Muhammad Afifi Amiri Mohamad Nawawi, 28, yang berasal dari Tendong, Pasir Mas cedera parah di kepala dan meninggal dunia serta-merta.
Difahamkan, mangsa yang menunggang bersendirian tidak berhenti di persimpangan tersebut walaupun lampu isyarat sudah merah dan merempuh jentera bomba yang ketika itu dalam perjalanan ke lokasi satu lagi nahas
lain di Ketereh.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tunjong Pegawai Bomba Kanan 1, Zainal Fitri Husain, jentera bomba yang terlibat kemalangan itu sudah menyalakan lampu kecemasan dan siren ketika itu.
“Semasa tiba di lokasi nahas, lampu isyarat sudah bertukar warna hijau, jadi jentera meneruskan perjalanan. Namun sebuah motosikal secara tiba-tiba merempuh bahagian kiri jentera yang mahu membelok ke kanan.
“Akibat rempuhan, penunggang motosikal terjatuh ke atas jalan dan meninggal dunia serta-merta di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini untuk bedah siasat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muhammad Afifi Amiri dikatakan bakal bernikah dengan pasangannya pada 22 Mac ini di Kampung Parang Puting, di sini. – UTUSAN ONLINE











