KUALA LUMPUR 13 Mac – Malaysia sudahpun memahat sejarah apabila mara ke suku akhir Kejuaraan Bola Sepak Pantai AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) 2019, namun pengendali skuad kebangsaan, Mohammed Faizal So’od berharap pasukannya mampu melakar pencapaian lebih gemilang apabila turun menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Pattaya, Thailand esok.
Beliau berharap anak-anak buahnya dapat memperbaiki segala kelemahan menjelang pertemuan esok selepas mengharungi tiga aksi sengit pada peringkat awal sebelum muncul naib juara Kumpulan A di belakang Palestin.
Malaysia kalah tipis 2-3 kepada Afghanistan dan 5-6 di tangan Palestin, selain mengalahkan Thailand 5-4 pada peringkat kumpulan.
“Ini kali pertama kami bermain di peringkat kalah mati, dan ia adalah sejarah tersendiri buat pasukan. Harap pencapaian ini dapat mempopularkan bola sepak pantai di Malaysia.
“Harap, kami dapat memberi persembahan terbaik esok. Kami amat menghormati UAE, tetapi dalam masa sama kami akan memberikan tentangan sengit dan cuba mencari keputusan positif.
“Sudah tentu UAE adalah pasukan yang beraksi dalam Piala Dunia dan menentang mereka akan memberi pengalaman baharu kepada kami,” kata Faizal yang dipetik dalam laman web AFC.
Sementara itu, jurulatih UAE, Mohamed Almaazmi menghormati Malaysia yang menunjukkan peningkatan dalam perlawanan kedua selepas mengalahkan Thailand.
“Saya terkejut dengan prestasi Malaysia kerana mereka memiliki taktikal dan jurulatih yang bagus. Kami menjangkakan perlawanan sengit esok, harap pemain kami dapat memberikan persembahan terbaik.
“Saya fikir Malaysia tidak memulakan kejohanan dengan bagus tetapi menunjukkan prestasi lebih baik pada perlawanan kedua menentang Thailand.
“Mereka juga lebih bagus dalam perlawanan ketiga, cuma kurang bernasib baik. Kami hormati pasukan ini,” kata Almaazmi.
Pemain seperti Shafiq Riza Huzair sekali lagi menjadi sandaran Faizal, terutama selepas menunjukkan persembahan baik dalam tiga perlawanan.
Tiga pasukan terbaik AFC akan layak beraksi dalam Piala Dunia di Paraguay dari 21 November hingga 1 Disember, tahun ini. – UTUSAN ONLINE
JADUAL ESOK
OMAN lwn BAHRAIN
(5 petang)
JEPUN lwn IRAN
(6.30 petang)
AFGHANISTAN lwn MALAYSIA
(8 malam)
PALESTIN lwn LEBANON
(9.30 malam)
*waktu Malaysia











