Bersediakah kita hadapi bencana? - Utusan Malaysia

Bersediakah kita hadapi bencana?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Mac – Bersediakah kita menghadapi bencana besar, khususnya melibatkan alam sekitar seperti mana kejadian pembuangan sisa toksik di Su­ngai Kim Kim Pasir Gudang?

Apa yang dibangkitkan bukanlah mempersoalkan ke­wibawaan mana-mana pihak dalam menangani isu ini tetapi kalau dilihat, tindakan yang dilakukan agak lambat. Hari ini 506 mangsa baharu dicatatkan. Mereka mengalami sesak nafas, loya dan muntah sama seperti mana 260 mangsa sebelum ini.

Peningkatan jumlah mangsa itu menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dalam langkah pihak berkuasa menguruskan bencana toksik di Pasir Gudang tersebut. Ia memandangkan seperti mana ditegaskan oleh Pengarah Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur, Universiti Sultan Zainail Abidin (UniSZA), Dr. Hafizan Juahir, kerajaan perlu menutup segera kawasan yang tercemar de­ngan jarak lima kilometer (km) persegi bagi mengelakkan le­bih ramai orang awam menjadi mangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada masa sama kata beliau, langkah untuk menambah isi padu air Sungai Kim Kim yang tercemar dan melakukan pembenihan awan juga perlu dilakukan untuk mengatasi masalah tersebut.

“Penting untuk pihak berkaitan menambah isi padu air sungai yang tercemar bagi membantu menguraikan sisa toksik dibawa ke bahagian muara. Sepanjang aliran arus sungai itu, sisa toksik yang berada dalam air telah melepaskan gas toksik ke udara dan merebak ke kawasan berhampiran.

“Pencemaran gas toksik di udara dilihat amat berbahaya memandangkan cuaca di Pasir Gudang adalah panas menyebabkan angin di sana bertiup kuat. Pembenihan awan perlu dilakukan kerana de­ngan adanya hujan, toksik yang tersebar melalui udara boleh diserap,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Persoalannya kenapakah tin­dakan ini tidak dilakukan? Kenapakah semua penduduk di kawasan berkenaan masih dibenarkan tinggal di kediaman masing-masing ketika pencemaran yang berlaku kini dilihat semakin serius? Kalaulah ia boleh menjejaskan ekonomi, apakah nyawa manusia jauh lebih murah daripada itu?

Malah ketika mengulas isu ini Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohammad Hamdan secara peribadi berpendapat tindakan membenarkan sekolah dibuka semula di kawasan berkenaan ketika sisa toksik masih belum dibersihkan adalah tidak betul, walaupun pihaknya difahamkan kos untuk membersihkan sisa itu adalah sangat tinggi.

Sebagai salah seorang individu yang bertanggungjawab di sebalik penubuhan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) pada 1995 bagi menangani bencana seumpama ini, Mohammad sudah pasti memahami betapa seriusnya kejadian di Pasir Gudang tersebut.

Sebab itu ketika bercakap kepada pemberita di IPOH, Mohammad menegaskan, tin­dakan membersihkan sisa toksik itu perlu diambil di pe­ringkat awal kerana ia mendatangkan kemudaratan kepada komuniti setempat ekoran bahan kimia tersebut mempunyai reaksi lebih aktif apabila berlakunya cuaca panas selain dengan tiup­an angin.

Menurut beliau, komitmen itu bagaimanapun memerlukan tindakan bersepadu yang sepatutnya dibuat oleh pelbagai jabatan dan institusi yang bertanggungjawab kerana tugas JBPM hanya terlibat dalam mengesan bahan berkenaan bagi menyelamatkan orang ramai di dalam kawasan tersebut.

“Apabila berlaku kes seperti ini, kita perlu bekerja 24 jam dan kita tidak boleh bekerja mengikut waktu pejabat. Kita tidak mahu apabila berlaku kecemasan macam ini, bekerja dari pukul 8 pagi sampai pukul 5 petang, lepas itu balik, sedangkan komuniti di kawasan tersebut menghadapi kemudaratan yang berpanjangan kerana tindakan kita yang terlalu lambat.

“Tindakan menutup seko­lah ini merupakan satu tindakan yang baik, malahan saya dari semalam lagi sudah minta dalam julat radius tertentu, dapat diambil tindakan untuk pemindahan. Sekiranya perlu mengosongkan kawasan itu, hendaklah dilakukan sewajarnya bagi memastikan mereka ini selamat,” katanya.

Sementara Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin mengesahkan, lima bahan kimia berbahaya yang dikenal pasti dibuang sehingga menyebabkan pencemaran toksik di Sungai Kim Kim di sini ialah methane, hydrogen chloride, acrylonitrile, acrolein dan benzene.

Kata beliau, hasil analisa terperinci daripada lima sampel yang diambil itu, tiga lagi bahan dikenal pasti iaitu toulene, xylene dan limonene.

Menurutnya, salah satu bahan iaitu limonene digunakan untuk proses pyrolysis (pe­nguraian) tayar kitar semula dan ada juga sebatian kimia berkenaan yang digunakan sebagai pelarut organik.

“Selepas kita mengetahui bahan limonene itu yang digunakan untuk proses pyrolysis tayar, ia membantu kita mengecilkan skop siasatan yang menjurus kepada kilang tayar kitar semula dan itu adalah suspek utama kita. Hasil analisa itu juga kita mengesan suspek berkaitan dan daripada situ kita berjaya mengenal pasti seorang daripada tiga yang ditahan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Aqabah Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

Berikutan situasi semakin serius, sebanyak 43 buah sekolah di Pasir Gudang ditutup serta-merta hari ini berikutan pencemaran toksik yang semakin kritikal ketika ini.

Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, semalam kementerian telah mengarahkan 11 buah sekolah di kawasan tercemar tutup selepas me­ngadakan lawatan ke Bilik Gerakan Bencana di Dewan Taman Pasir Putih, Pasir Gudang dan melawat mangsa di Hospital Sultan Ismail (HSI).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini