Nelayan P. Pinang persoal dakwaan majoriti setuju projek tambak laut - Utusan Malaysia

Nelayan P. Pinang persoal dakwaan majoriti setuju projek tambak laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 13 Mac – Komuniti nelayan di Teluk Bahang di sini mempersoalkan dakwaan konsultan projek tambak laut bagi membentuk tiga buah pulau di perairan selatan negeri ini kononnya sebahagian besar mereka bersetuju dengan projek tersebut.

Ini kerana, menurut mereka, pihak konsultan atau kerajaan negeri tidak pernah bertemu dengan komuniti nelayan bagi mendengar permasalahan mereka akibat projek tersebut.

Malah, mereka turut mempersoalkan cadangan transformasi nelayan yang dibuat beberapa persatuan nelayan untuk pertimbangan kerajaan negeri yang disifatkan tidak mendapat input atau maklum balas daripada komuniti nelayan keseluruhan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut nelayan Teluk Bahang, Faizal Zabri, 36, cadangan yang dikemukakan persatuan nelayan kepada kerajaan negeri juga dilihat tidak dapat membantu atau membela nasib nelayan secara jangka panjang.

Sebagai contoh, katanya, pemberian bot dengan enjin lebih besar serta pembesaran jeti nelayan di kawasan terlibat hanya akan meningkatkan kos kepada nelayan sedangkan hasil tangkapan terjejas teruk disebabkan projek tambakan tersebut.

“Disebabkan tambakan ini kelak juga, nelayan terpaksa pergi lebih jauh ke laut untuk menangkap ikan sedangkan sebahagian besar mereka sudah berusia.

“Sebab itu, walau apa pun alasan yang diberikan kerajaan negeri atau pihak konsultan, komuniti nelayan di negeri ini tetap membantah cadangan projek tambak laut di selatan perairan negeri ini,” katanya.

Dia ditemui pemberita selepas menyertai lebih 30 nelayan dan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring) mengadakan bantahan aman di Teluk Bahang di sini pagi ini.

Bantahan aman itu bagi mendesak kerajaan negeri membatalkan cadangan projek tambakan laut bagi membentuk tiga buah pulau buatan di perairan selatan negeri ini membabitkan keluasan lebih 1,700 hektar.

Projek tambakan laut itu dirancang bagi mendapatkan modal untuk menampung Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang dengan kos keseluruhan lebih RM40 bilion.

Sementara itu, seorang lagi nelayan, Zabry Yusof, 64, melahirkan rasa kesal kerana pihak berkuasa khususnya kerajaan negeri seolah-olah menutup mata terhadap kebajikan dan masa depan nelayan di negeri ini.

Katanya, projek tambakan laut di kawasan perairan selatan itu secara jelas akan menutup mata pencarian lebih 6,000 nelayan bukan hanya di negeri ini malah di negeri-negeri utara lain yang menjadikan kawasan laut tersebut sebagai sumber rezeki.

“Kawasan yang mahu ditambak ini adalah lubuk hasil laut seperti pelbagai jenis ikan, udang dan ketam dan sumber rezeki kami ini akan musnah jika projek ini diteruskan,” katanya.

Apa yang dikesalkan juga, tambahnya, sehingga kini juga nelayan terlibat tidak pasti berkenaan pampasan atau hala tuju mereka ekoran projek itu kerana tidak mendapat penjelasan sepenuhnya daripada kerajaan negeri. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini