KUALA SELANGOR – Seorang lelaki retak tulang rahang selepas kenderaan dinaikinya dibaling batu oleh sekumpulan lelaki yang melakukan jenayah samun di Jalan Telok Piah, kelmarin.
Dalam kejadian pukul 2 pagi, mangsa berusia 28 tahun itu bagaimanapun gagal disamun oleh kumpulan suspek yang menaiki motosikal itu.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Md. Asri A. Wahab berkata, kejadian dikatakan berlaku apabila mangsa yang memandu sendirian kereta jenis Perodua Myvi dalam perjalanan ke Sungai Besar.
Katanya, sewaktu pemanduan tersebut mangsa telah berselisih dengan dua buah motosikal dari arah bertentangan di Jalan Telok Piah.
“Bagaimanapun, sebuah lagi motosikal yang kemudiannya menyusuli belakang dua buah motosikal itu didapati telah menghidupkan lampu tinggi mengakibatkan mangsa berasa silau di bahagian mata.
“Suspek yang menaiki motosikal itu kemudiannya telah bertindak membaling sejumlah batu mengakibatkan cermin hadapan kereta dipandu mangsa pecah selain batu itu mengenai dagu lelaki itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau memberitahu, mangsa yang dalam keadaan berdarah di dagu itu meneruskan perjalanan sebelum mendapati ketiga-tiga buah motosikal berkenaan membuat pusingan U untuk mengejarnya menerusi cermin pandang belakang kenderaannya.
Ujar Md. Asri, mangsa yang curiga terus memecut laju sehingga Hospital Tanjong Karang bagi mendapatkan rawatan.
Jelas beliau, semakan pihaknya turut mendapati kumpulan suspek yang sama juga dipercayai terlibat dalam kes lain bermula pukul 12.50 pagi hingga 1.50 pagi di sekitar daerah ini.
“Mereka didapati menggunakan modus operandi yang sama iaitu membaling batu ke arah kenderaan di Jalan Bukit Rotan dan Jalan Keretapi Lama selain suspek turut bersenjatakan parang.
“Dalam dua-dua kejadian itu mangsa berusia 25 dan 51 tahun dengan kenderaan yang rosak akibat jenayah suspek itu adalah jenis Toyota Vios dan Honda City,” katanya.
Justeru itu, beliau menegaskan usaha memburu kesemua suspek yang terlibat sedang giat dilakukan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 326/427/394 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menyalurkan maklumat ke Bilik Gerakan Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Selangor di talian 03-32813853,” katanya.
Terdahulu, ketiga-tiga insiden itu tular di laman sosial Facebook sehingga menimbulkan kegusaran orang ramai di sekitar daerah itu. – K! ONLINE











