LONDON – Seorang pengembara dan pemegang rekod Guinness World Records, Ed Stafford membongkar kehidupan golongan gelandangan di United Kingdom yang menerima sehingga £200 (RM 1,100) sehari, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Berat badan bekas kapten tentera itu turut naik sebanyak 5 kilogram kerana kerap menerima makanan percuma ketika berlakon sebagai seorang gelandangan selama 60 hari di Glasgow, Manchester dan London untuk satu dokumentari khas rangkaian televisyen Channel 4.
“Ketika di Glasgow, saya melihat 26 orang sukarelawan mengagihkan makanan sedangkan hanya ada dua orang gelandangan di kawasan itu. Seorang lelaki gelandangan turut mengadu dia sudah diberi terlalu banyak makanan.
“Di London pula, menjadi satu kebiasaan untuk mengutip antara £100 (RM530) hingga £200 (RM1,100) untuk satu hari iaitu lebih tinggi daripada gaji pekerja biasa,” katanya.
Bagaimanapun, Stafford berpendapat ia bukan gaya hidup pilihan mereka sendiri sekalipun ada yang sudah putus harapan kerana rata-ratanya terjerumus menjadi gelandangan disebabkan pelbagai tragedi silam.
Stafford sebelum ini memegang rekod Guinness World Records kerana menjadi individu pertama berjalan di sepanjang Sungai Amazon. – Agensi











