Rekod keselamatan Boeing 737 MAX dipersoal - Utusan Malaysia

Rekod keselamatan Boeing 737 MAX dipersoal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON – Sebuah lagi pesawat Boeing 737 MAX 8 terhempas beberapa minit selepas berlepas dan mengorbankan semua penumpang serta kru dalam tempoh kurang enam bulan sekali gus menimbulkan persoalan baharu tentang keselamatan model tersebut.

Model Boeing 737 MAX memainkan peranan utama dalam rancangan masa depan penge­luar pesawat dari Amerika Syarikat itu.

Kelmarin, seramai 157 penum­pang dan kru pesawat 737 MAX milik Ethiopian Airlines terbunuh. Pada Oktober tahun lalu pula, pesawat model sama kendalian Lion Air terhempas di Indonesia dan meragut 189 nyawa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hanya data penerbangan dan perbualan kokpit yang terkan­dung dalam dua kotak hitam pesawat malang itu dapat memberi bukti dalam menentukan punca nahas terbaharu tersebut, sama ada ia berpunca daripada masalah teknikal, kesilapan juruterbang ataupun kombinasi beberapa faktor.

“Juruterbang ada menyebut bahawa dia mengalami kesukaran dan mahu berpatah balik. Dia mendapat kebenaran berbuat demikian,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Ethiopian Airlines, Tewolde GebreMariam kepada pemberita di Addis Ababa.

Keadaan cuaca di Addis Ababa yang merupakan ibu kota Habsyah, baik pada hari kejadian.

Mengulas keselamatan Boeing 737 MAX, seorang pakar industri penerbangan menyatakan bahawa kedua-dua insiden tersebut adalah sama.

“Ia melibatkan pesawat mo­del sama. Seperti juga Lion Air, nahas Ethiopian Airlines berlaku sejurus selepas penerba­ngan berlepas dengan juruterbang memaklumkan mereka berdepan masalah. Selepas itu, pesawat terhempas. Persamaan antara dua nahas itu jelas,” kata pakar berkenaan yang mahu identitinya dirahsiakan supaya dapat bercakap secara telus mengenai perkara itu.

Kemalangan terbaharu itu memberi tamparan kepada ­Boeing kerana pesawat MAX merupakan versi terbaharu ­Boeing 737, model terlaris ­Boeing sepanjang zaman dengan 10,000 unit telah dikeluarkan.

Model 737 MAX merupakan program yang amat penting buat Boeing dalam dekad akan datang. Ia mewakili 64 peratus daripada keseluruhan pengeluaran syarikat itu sehingga tahun 2032.Sementara itu, Boeing menyatakan bahawa pihaknya amat sedih dengan nahas tersebut, manakala unit teknikalnya akan membantu pasukan penyiasat. 
– AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini