NEW YORK 11 Mac – Gara-gara mahu merakam gambar swafoto terbaik, seorang wanita Amerika Syarikat (AS) diserang seekor jaguar selepas dia memanjat penghadang berhampiran kandang haiwan itu di Zoo Hidupan Liar Dunia, Arizona, kelmarin.
Lapor Mail Online yang memetik beberapa saksi berkata, wanita itu berbuat demikian kerana mahu berada pada jarak lebih dekat dengan jaguar berkenaan.
Namun, detik yang sepatutnya menggembirakan wanita itu bertukar menjadi mimpi ngeri apabila jaguar berkenaan bertindak menyerang dan mengakibatkan luka teruk selain pendarahan yang banyak pada lengannya.
Satu rakaman video menunjukkan wanita itu terbaring menangis kesakitan selepas diserang.
Pengurusan zoo berkenaan mengesahkan kejadian itu dan sedang menyiasat insiden terbabit.
“Dukacita kami maklumkan, pada petang ini sebelum zoo ini ditutup, terdapat insiden dilaporkan membabitkan pengunjung yang memanjat penghadang untuk mengambil gambar.
“Pengunjung itu mengalami kecederaan yang tidak mengancam nyawa di bahagian lengan daripada seekor jaguar betina kami. Atas permintaan keluarganya, pasukan perubatan telah dipanggil,” kata kenyataan dikeluarkan oleh zoo tersebut.
Sementara itu, pengarah zoo berkenaan, Mickey Ollson berkata, kejadian itu merupakan insiden kedua membabitkan jaguar pada bulan ini.
Namun pihak zoo tersebut berkata jaguar itu tidak akan dibunuh. – AGENSI











