PUTRAJAYA 11 Mac – Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in dan isteri, Kim Jung-sook akan mengadakan lawatan negara ke Malaysia pada esok hingga 14 Mac ini bagi mengukuhkan hubungan dua hala.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memberitahu, Jae-in dan isteri akan diiringi oleh Menteri Luar Negeri; Menteri Perdagangan, Industri dan Tenaga; Menteri Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan serta pegawai-pegawai kanan dari Korea Selatan.
Jelasnya, Presiden Korea Selatan itu akan diberikan Sambutan Negara oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di pekarangan Parlimen pada Rabu.
Ia disusuli dengan Majlis Santapan Negara yang akan dihoskan oleh Seri Paduka Baginda di Istana Negara.
Jelasnya, Jae-in merupakan ketua negara asing pertama yang akan diraikan oleh Seri Paduka Baginda setelah baginda menaiki tahta pada 31 Januari lalu.
“Semasa di Malaysia, Jae-in dijadual akan mengadakan perbincangan dua hala dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Rabu.
“Kedua-dua pemimpin dijangka akan membincangkan pelbagai perkara yang berkepentingan bersama, merangkumi hubungan dua hala, isu serantau dan antarabangsa.
“Usaha bagi memperkukuhkan hubungan, sambutan ulang tahun ke-60 penubuhan hubungan diplomatik Malaysia-Korea Selatan dan hubungan ASEAN-Korea Selatan adalah antara perkara-perkara utama yang akan dibincangkan,” jelas Wisma Putra dalam kenyataan itu malam ini.
Menurut Wisma Putra lagi, kedua-dua pemimpin akan turut menyaksikan pemeteraian empat buah Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama di dalam bidang industri berasaskan Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0), pengangkutan, pembangunan bandar pintar di Malaysia serta kerjasama di dalam sektor industri halal.
Jelas Wisma Putra lagi, satu sidang akhbar bersama oleh kedua-dua pemimpin akan menyusul di akhir perbincangan.
Kali terakhir Malaysia menerima lawatan negara dari Korea Selatan adalah pada 9 – 10 Disember 2010 oleh Presiden Lee Myung-bak sempena ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik di antara Malaysia dan Korea Selatan.
Pada tahun lalu, jumlah dagangan di antara Malaysia dan Korea Selatan telah meningkat sebanyak 7.2 peratus kepada AS$17.98 bilion (RM72.60 bilion), berbanding AS$15.76 bilion (RM67.71 bilion) pada 2017.
Korea Selatan adalah rakan dagang Malaysia yang ke-8 terbesar serta penyumbang kepada Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke-13 terbesar di Malaysia pada tahun 2018. Malaysia pula merupakan rakan dagang Korea Selatan ke-14 terbesar pada tahun yang sama.
“Dari Januari hingga September 2018, seramai 463,004 warga Korea Selatan telah berkunjung ke Malaysia, peningkatan sebanyak 33.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2017,” jelas Wisma Putra lagi. – UTUSAN ONLINE











