WASHINGTON 11 Mac – Punca nahas pesawat Ethiopian Airlines, ET302, yang terhempas berhampiran pekan Bishoftu, kira-kira 45 kilometer dari Addis Ababa semalam, belum diketahui sehingga kotak hitam pesawat itu dianalisis.
Bagaimanapun menurut penganalisis penerbangan CNN, Mary Schiavo, syarikat penerbangan tidak sepatutnya bertindak ‘hanya menunggu’ untuk menggantung sementara operasi pesawat Boeing 737 MAX 8.
“Sudah tentu, ‘semuanya patut’ menggantung operasi pesawat berkenaan.
“Saya fikir Boeing perlu memulakannya (arahan gantung operasi), Boeing perlu melakukannya,” katanya seperti dilaporkan CNN.
Pesawat Boeing 737 MAX 8 yang dilancarkan dua tahun lalu telah terlibat dengan dua nahas dalam tempoh kurang daripada enam bulan, susulan nahas pesawat Lion Air yang mengorbankan 189 orang di Indonesia.
Model pesawat bagi siri 737 MAX merupakan antara yang laris ditempah; Southwest, United dan American Airlines, semuanya menempah 100 atau lebih pesawat jenis itu, menurut angka terkini Boeing dengan beberapa pesawat MAX 8 telah beroperasi.











