Rumah berkembar markas judi online diserbu - Utusan Malaysia

Rumah berkembar markas judi online diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Taktik licik sindiket judi dalam talian menjadikan sebuah rumah berkembar di Bandar Parkland, di sini sebagai markas operasi sejak enam bulan lalu lumpuh selepas diserbu pihak berkuasa petang tadi.

Serbuan oleh sepasukan anggota dan pegawai daripada Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman bersama sepasukan anggota dan pegawai daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan itu bermula kira-kira pukul 5.30 petang.

Hasil serbuan ke atas rumah yang lengkap berpagar dan mempunyai kawalan keselamatan itu berjaya menahan lapan lelaki dan seorang wanita warga China berusia lingkungan 20-an hingga 40-an.

Memuatkan artikel berkaitan…

Turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun dipercayai penyewa rumah dan juga bertindak sebagai orang tengah kepada sindiket berkenaan.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, serbuan tersebut dilakukan hasil risikan pihaknya sejak dua minggu yang lalu ke atas rumah yang disewa oleh sindiket terbabit dengan kos kira-kira RM3,600 sebulan.

Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan kebanyakan warga asing itu sedang leka mengoperasikan judi dalam talian yang berpengkalan di China dan tidak menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, sindiket ini menawarkan aktiviti secara dalam talian menggunakan aplikasi WeChat dan mensasarkan pemain warga tempatan dan China.

“Siasatan lanjut mendapati judi ini didalangi beberapa operator warga China yang dilakukan secara bergilir-gilir dan beroperasi hampir 24 jam sehari,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah beliau, ketika serbuan dilakukan, operasi judi atas talian itu sedang berjalan dan transaksi judi ketika itu adalah kira-kira RM1.2 juta.

“Selain itu, berdasarkan pemantauan pihak kita, operator judi tersebut turut ‘memancing’ kaki judi dalam talian untuk bermain supaya kegiatan itu kelihatan ramai pemain dan amaun pertaruhan juga akan tinggi.

“Mereka akan sesekali membahagikan keuntungan kepada pemain supaya mereka lebih leka bermain judi terbabit tanpa menyedari mereka telah ditipu sindiket berkenaan,” katanya.

Rohami berkata, sindiket berkenaan juga mampu meraih keuntungan lebih RM1 juta sehari dan akan sentiasa mengubah markas operasi sindiket berkenaan bagi mengelakkan dihidu pihak berkuasa.

“Hasil serbuan ini juga, kita turut merampas 13 komputer riba, 77 buah telefon bimbit dan beberapa alat komunikasi lain seperti ‘router’ dan ‘modem’,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka dan Seksyen 4(B)(a) akta yang sama. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini