ALOR SETAR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai kemampuan yang tinggi untuk mengesan dan memintas segala aktiviti termasuk komunikasi oleh mana-mana individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengganas di negara ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya sentiasa bergerak seiring dengan kemajuan teknologi untuk mengesan kehadiran dan sebarang kegiatan kumpulan pengganas dalam masa singkat.
“Modus operandi anggota kumpulan pengganas yang berada di lokasi berbeza adalah antara lain dengan menjadikan teknologi maklumat (IT) seperti emel sebagai sumber utama mereka untuk berkomunikasi.
“Walau bagaimanapun, kita mempunyai kemampuan yang tinggi untuk memintas dan mengesan urusan dan komunikasi antara mereka (pengganas),” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Kedah di sini hari ini.
Terdahulu, Noor Rashid menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Kedah daripada Datuk Abd. Rahim Jaafar kepada Datuk Zainuddin Yaacob.
Dalam pada itu, kata beliau, anggota kumpulan pengganas warga asing mengambil kesempatan menyusup masuk ke Malaysia kerana negara ini mempunyai sistem akses yang baik dan ‘mesra pelancong’.
“Mungkin mereka melihat negara ini sebagai satu tempat yang boleh berkumpul tanpa diganggu, tetapi perlu diingatkan bahawa PDRM sentiasa peka terhadap apa sahaja kegiatan mereka selain kita mampu mengesan aktiviti yang tidak diingini lebih awal,” ujarnya.
Kosmo! Online semalam melaporkan sembilan individu termasuk seorang guru agama warga Mesir ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengganas dalam beberapa siri serbuan di sekitar Lembah Klang dan Sarawak awal bulan lalu.
Kesemua yang ditahan dalam operasi khas bermula 2 hingga 9 Februari lalu itu terdiri daripada dua warga tempatan, enam warga Mesir dan seorang warga Tunisia berusia antara 21 hingga 54 tahun.
Mereka merupakan suspek Foreign Terrorist Fighters yang menganggotai kumpulan pengganas Ansar Al-Shariah Al-Tunisia iaitu merupakan kumpulan gabungan Al-Qaeda yang beroperasi di utara Afrika.
Kehadiran kumpulan itu boleh menjadikan negara ini sebagai pangkalan untuk menyerang negara ketiga atau melancarkan serangan di Malaysia. – K! ONLINE











