PASIR GUDANG – Dalang utama kes pembuangan bahan kimia disyaki jenis metana ke dalam Sungai Kim Kim sehingga menyebabkan 82 mangsa dikejarkan ke hospital sejak Khamis lalu sudah dikenal pasti.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Datuk Dr. Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, dalang utama itu adalah dua pemilik kilang dan seorang pekerja disyaki terlibat selain ditahan polis.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek ditahan berusia lingkungan 50-an semalam dan hari ini di kawasan tidak jauh dari lokasi kejadian di Sungai Kim Kim.
“Kita sudah kenal pasti dalang utama atau suspek yang membuang sisa toksik ke dalam Sungai Kim Kim dan kita mendapat petunjuk selain bukti kukuh.
“Kita tangkap dan serahkan kepada pihak polis untuk siasatan mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya. – K! ONLINE











