KUALA LUMPUR 10 Mac – Tindakan mengaitkan Pas dengan kerajaan Taliban dan tuduhan menentang golongan bukan Islam merupakan antara contoh parti tersebut sering diberikan persepsi yang tidak adil.
Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, segala tuduhan itu palsu memandangkan Pas sendiri tidak pernah menentang orang bukan Melayu dan Islam di negeri-negeri yang ditadbir parti itu.
Katanya, Pas turut mempunyai Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) yang terdiri daripada masyarakat bukan Melayu dan Islam, sekali gus dapat menunjukkan tiada sebab Pas mahu menentang kaum lain.
“Segala tuduhan ini tidak benar. Mungkin hasil daripada ketakutan terhadap kerjasama yang berlaku, maka terhasilkan pelbagai kenyataan negatif ini,” katanya semasa berucap dalam Seminar Perpaduan Nasional anjuran DHPP di sini hari ini.
Jelasnya lagi, Pas sendiri pernah bekerjasama dengan DAP dan tidak timbul dakwaan kononnya berlaku usaha memerangi kaum dan penganut agama lain.
Sejak kerjasama UMNO dan Pas diumumkan, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menuduh kerjasama itu kononnya ‘perang’ terhadap orang bukan Melayu manakala Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dilaporkan mendakwa kerjasama itu akan menjadikan negara seperti Afghanistan yang diperintah Taliban. – UTUSAN ONLINE











