KUALA LUMPUR 10 Mac – Sebanyak sembilan individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti kumpulan pengganas dalam operasi yang dilancarkan di sekitar Lembah Klang dan Sarawak bermula 2 hingga 9 Februari lalu.
Mereka yang ditahan merupakan enam warga Mesir, dua warga tempatan dan seorang warga Tunisia.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, operasi tersebut dilancarkan selepas Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman menerima maklumat risikan mengenai kehadiran beberapa suspek ‘Foreign Terrorist Fighters’ yang menganggotai kumpulan pengganas Ansar Al-Shariah Al-Tunisia.
Menurutnya, anggota kumpulan pengganas tersebut disyaki terlibat dalam rancangan untuk melancarkan serangan berskala besar di beberapa buah negara.

“Tangkapan pertama pada 2 Februari di Serian, Sarawak membabitkan seorang lelaki warga Mesir dan dua warga tempatan termasuk seorang wanita yang berusia antara 20 dan 54 tahun. Mereka ditahan kerana menyembunyikan maklumat kehadiran operatif Ansar Al-Shariah Al-Tunisia yang transit di Malaysia, bertindak sebagai fasilitator yang melindungi juga menguruskan pembelian tiket kapal terbang.
“Pada hari yang sama di Setapak, di sini, kita menahan seorang lelaki Mesir berusia 42 tahun yang bekerja sebagai tenaga pengajar di sebuah sekolah agama di ibu negara kerana turut bertindak sebagai fasilitator kepada dua anggota Ansar Al-Shariah Al-Tunisia yang masuk ke negara ini pada Oktober tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohamad Fuzi memaklumkan, tangkapan ketiga dan keempat juga dibuat pada 2 Februari di Bukit Bintang dan Seri Kembangan membabitkan dua warga Mesir berusia 24 dan 28 tahun yang merupakan pelajar institusi pengajian di Lembah Klang dan Pantai Timur.
Ujarnya, kedua-dua suspek mengaku sebagai ahli Ikhwanul Muslimin yang bertindak sebagai fasilitator kepada dua anggota Ansar Al-Shariah Al-Tunisia yang menyusup masuk ke Malaysia pada Oktober tahun lalu.
“Tangkapan kelima pula dibuat pada 4 Februari di ibu negara membabitkan dua lelaki warga Mesir dan Tunisia berusia 21 dan 22 tahun. Mereka merupakan anggota Ansar Al-Shariah Al-Tunisia dan pernah ditangkap pada 2016 ketika cuba menyusup masuk ke sebuah negara Afrika Tengah.
“Kedua-dua suspek masuk ke negara ini menggunakan pasport palsu Syria dengan tujuan menjadikan Malaysia sebagai tempat transit, sebelum menyusup masuk ke negara ketiga untuk melancarkan serangan.
“Tangkapan terakhir pada 9 Februari di Ampang, Selangor pula membabitkan seorang lelaki warga Mesir berusia 50 tahun. Suspek yang bekerja sebagai guru Bahasa Arab itu mengaku menjadi ahli Ikhwanul Muslimin dan bertindak sebagai fasilitator dalam menyediakan penginapan kepada dua anggota Ansar Al-Shariah Al-Tunisia yang menyusup masuk pada Oktober 2018,” ujarnya.
Mohamad Fuzi memberitahu, hasil siasatan mendedahkan elemen ‘Foreign Terrorist Fighters’ cuba menjadikan Malaysia sebagai lokasi selamat, destinasi transit dan pangkalan logistik dengan cara menyusup masuk ke negara ini melalui kaedah penggunaan dokumen palsu atau sah, berkahwin dengan rakyat tempatan, mengeksploitasi kemudahan pengajian atau perniagaan.
“Penyusupan masuk ‘Foreign Terrorist Fighter’ ini harus dipandang serius terutama selepas kekalahan Islamic State di Syria dan Iraq. Kehadiran mereka juga boleh menjadikan negara ini sebagai pangkalan untuk menyerang negara ketiga atau lancar serangan di Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, kesemua yang ditangkap disyaki melakukan kesalahan di bawah kesalahan berkaitan dengan keganasan, kanun keseksaan (Akta 574) dan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).
“Memandangkan kehadiran warga asing ini boleh menjejaskan keselamatan Malaysia, kesemua suspek tersebut telah diusir ke negara asal mereka di bawah Seksyen 9(1) Akta Imigresen 1959/63 pada 5 Mac 2019 serta dicadangkan untuk disenaraihitamkan daripada memasuki negara ini seumur hidup,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











